AGENDA

1,900 belia di Melaka dapatkan perkhidmatan program pengurusan kredit AKPK

20 Jan 2025, 4:32 AM
1,900 belia di Melaka dapatkan perkhidmatan program pengurusan kredit AKPK

MELAKA, 20 JAN: Kira-kira 1,900 belia di Melaka berusia antara 20 hingga 30 tahun telah mendapatkan perkhidmatan Program Pengurusan Kredit (PPK) Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) setakat 31 Dis 2024, melibatkan hutang berjumlah sekitar RM138 juta.

Ketua Cawangan AKPK Melaka Mohammad Farid Fadzil berkata kumpulan terbesar pelanggan muda mereka ialah golongan yang berpendapatan antara RM2,000 hingga RM4,000 sebulan, iaitu 931 individu dengan keseluruhan hutang sekitar RM65 juta.

Beliau berkata kos sara hidup yang tinggi sehingga menyebabkan ketidakupayaan mengurus hutang dan menjejaskan kualiti hidup antara punca utama golongan belia itu mendapatkan bantuan pembayaran balik pembiayaan iaitu sebanyak 52 peratus.

"Punca kedua adalah golongan muda yang menghadapi situasi komitmen kewangan luar jangka (11 peratus) dengan jumlah hutang keseluruhan sekitar RM14 juta selain kehilangan pekerjaan (enam peratus).

“Apa yang lebih penting adalah untuk kita mengenal pasti punca golongan muda ini terbeban dengan hutang tinggi dan langkah-langkah yang boleh diambil mereka untuk keluar daripada kemelut itu," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohammad Farid berkata bagi menghadapi cabaran kewangan masa kini, budaya dan displin dalam membuat perancangan kewangan yang teliti termasuk pemahaman terhadap keperluan asas, amalan tabungan dan kemahiran pengurusan kewangan peribadi perlu menjadi keutamaan semua pihak.

Pendekatan itu harus diterapkan untuk membantu individu membuat keputusan kewangan yang lebih baik, bertanggungjawab dan menyumbang kepada kesejahteraan kewangan secara keseluruhan, katanya.

"Kesedaran untuk membezakan antara keperluan asas dan kehendak adalah kunci utama kepada kemandirian kewangan belia, tidak kira apa jua keadaan ekonomi mereka," katanya.

Mohammad Farid juga menggalakkan orang ramai terutamanya golongan muda untuk mendapatkan nasihat dan perkhidmatan pengurusan kewangan secara percuma di AKPK kerana mereka tidak tidak pernah melantik pihak ketiga atau ejen bagi urusan pestrukturan semula hutang.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619