ad
AGENDA

Gencatan senjata bawa harapan kepada penduduk, bina semula kehidupan

19 Jan 2025, 3:35 PM
Gencatan senjata bawa harapan kepada penduduk, bina semula kehidupan

ISTANBUL, 19 JAN: Agensi migrasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata gencatan senjata antara Israel dan kumpulan Hamas di Gaza membawa "harapan yang amat diperlukan" ketika jeda dalam pertempuran bermula pada Ahad berikutan konflik selama 15 bulan, lapor Agensi Anadolu (AA).

“Gencatan senjata di Gaza membawa harapan yang amat diperlukan, menawarkan peluang untuk menyatukan semula keluarga dan mula membina semula kehidupan yang hancur,” kata Ketua Pengarah Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), Amy Pope di X.

Beliau berkata skala keperluan kemanusiaan di Gaza adalah "amat besar," dan menyeru usaha yang "mendesak dan bersatu" serta sokongan berskala besar di semua peringkat.

Perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan itu berkuat kuasa pada 0915GMT Ahad, tertangguh daripada jadual asal pada 0630GMT selepas Israel menuduh Hamas melengahkan pembebasan senarai tawanan.

Serangan tanpa henti Israel 7 Okt 2023 telah memusnahkan Gaza, dengan pihak berkuasa kesihatan tempatan melaporkan hampir 47,000 kematian dan lebih 110,700 kecederaan, kebanyakannya melibatkan wanita dan kanak-kanak.

-- BERNAMA-AA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.