AGENDA

Remaja umur 17 tahun maut motosikal ditunggang bertembung kereta

19 Jan 2025, 12:30 PM
Remaja umur 17 tahun maut motosikal ditunggang bertembung kereta

SEREMBAN, 19 JAN: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 8 Jalan Bahau-Kemayan, Jempol, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata kejadian pada 2.30 pagi itu membabitkan motosikal jenis Honda dinaiki mangsa yang juga seorang penganggur dengan kereta jenis Perdana V6 dipandu seorang lelaki berumur 30 tahun bersama penumpang lelaki berumur 16 tahun dari arah Mahsan menuju Felda Raja Alias 2.

"Tiba di lokasi kejadian, semasa (pemandu kereta) memandu menaiki jalan berbukit, tiba-tiba datang sebuah motosikal ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan berlaku perlanggaran secara berhadapan dengan kereta tersebut.

"Akibat kemalangan itu penunggang motosikal mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pemandu kereta itu mengalami cedera ringan pada muka dan tangan manakala penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata seorang wanita berusia 35 tahun maut apabila kereta dinaikinya merempuh sebuah treler di KM 282.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah ke Melaka pada 4.20 pagi tadi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah treler tanpa muatan dipandu seorang lelaki berumur 34 tahun yang dalam perjalanan dari Port Klang menghala ke Melaka.

"Tiba di lokasi, treler tersebut mengalami kerosakan lalu berhenti di lorong paling kiri, kemudian datang sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu seorang lelaki berumur 40 tahun telah melanggar bahagian belakang sisi kanan treler.

"Akibat kemalangan tersebut, pemandu kereta mengalami kecederaan parah di kepala, penumpang kereta (wanita yang maut) cedera parah di bahagian kepala dan badan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619