AGENDA

Disyaki terbabit kes rasuah pinjaman peribadi, SPRM tahan empat lagi individu

18 Jan 2025, 12:10 PM
Disyaki terbabit kes rasuah pinjaman peribadi, SPRM tahan empat lagi individu

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat lagi individu kerana disyaki menerima rasuah sebagai balasan membantu memproses dan meluluskan permohonan pinjaman peribadi yang dikemukakan sebuah syarikat perunding kewangan.

Menurut sumber, dua pegawai dan dua bekas pegawai institusi perbankan berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu ditahan pada jam 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

Perintah reman selama lima hari sehingga 22 Jan ini terhadap dua suspek lelaki dan dua wanita itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

“SPRM telah menerima beberapa aduan dan maklumat berkaitan kegiatan rasuah yang dilakukan oleh pegawai-pegawai institusi perbankan yang telah membantu memproses serta meluluskan permohonan pinjaman peribadi pelanggan melalui sebuah syarikat perunding kewangan.

“Pegawai-pegawai institusi perbankan ini dipercayai menerima rasuah daripada syarikat perunding kewangan yang bertindak menyediakan dokumen dipercayai mengandungi maklumat palsu pelanggan yang ingin membuat pinjaman peribadi,” katanya.

Dalam pada itu, mahkamah yang sama, Majistret Irza Zulaikha juga membenarkan permohonan sambung reman selama empat hari sehingga Selasa depan terhadap lima lelaki yang sebelum ini ditahan SPRM pada Selasa lepas.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap empat suspek berkenaan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata tujuh lagi individu yang sebelum ini telah ditahan reman pada Rabu telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619