ad
AGENDA

Fahmi: SKMM, Microsoft bincang pelesenan LinkedIn

18 Jan 2025, 8:50 AM
Fahmi: SKMM, Microsoft bincang pelesenan LinkedIn

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Perbincangan sedang berjalan antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Microsoft yang merupakan pemilik LinkedIn mengenai pelesenan platform media sosial itu, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata perbincangan berkenaan bertujuan melihat sama ada LinkedIn memenuhi kriteria yang diperlukan untuk mendaftar bagi mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan (ASP) di Malaysia.

“Kita dapati LinkedIn mempunyai jumlah pengguna melebihi 8 juta (di Malaysia). Angka ini telah diumum oleh LinkedIn sendiri bagi suku pertama 2025 dan SKMM telah mula berhubung dengan pihak Microsoft yang memiliki LinkedIn,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Rintis Future Health for All (FH4A) di sini hari ini.

Mengenai platform X dan Youtube, Fahmi berkata perbincangan mengenai pendaftaran lesen berkenaan masih berjalan.

“Bagi pihak Meta, mereka dalam fasa akhir sama seperti yang saya sebut baru-baru ini, ada satu dokumen yang mereka sedang dalam proses untuk hantar,” tambahnya.

Sebelum ini Kementerian Komunikasi memaklumkan Telegram menjadi platform ketiga selepas TikTok dan WeChat yang mendapat kelulusan lesen ASP.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.