SEREMBAN, 17 JAN: Dua lelaki disyaki terlibat dalam 19 siri jenayah pecah kedai dobi layan diri, samun dan curi kenderaan yang berlaku di Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, dan Perak, ditahan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata kegiatan jenayah itu yang berlaku sejak tahun lalu hingga bulan ini membabitkan anggaran kerugian RM117,000.
Beliau berkata tangkapan ke atas dua lelaki berusia 30-an dan 40-an di Serdang, Selangor itu, dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada pengurus kafe di Senawang, di sini yang memaklumkan premisnya di pecah masuk pada 7.30 pagi, 2 Januari lalu.
"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki memecah masuk melalui pintu belakang dan menggeledah ruang kaunter kafe.
“Hasil siasatan mendapati suspek menggunakan sebuah kereta jenis Proton Exora merah dengan nombor pendaftaran palsu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata turut dirampas sebuah Proton Exora milik suspek dan Perodua Ativa dilaporkan hilang di Hutan Melintang, Perak serta beberapa peralatan pecah rumah, barangan milik mangsa dan pelbagai jenis syiling token kedai dobi layan diri, selain pakaian milik suspek ketika melakukan kejadian jenayah dikenal pasti melalui rakaman CCTV.
Mohammad Hatta berkata suspek direman empat hari di bawah Seksyen 117 Kanun Akta Jenayah dan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
- BERNAMA