AGENDA

Forum Pelancongan Asean buka tirai, pupuk kerjasama rentasi sempadan, budaya

15 Jan 2025, 2:15 AM
Forum Pelancongan Asean buka tirai, pupuk kerjasama rentasi sempadan, budaya

JOHOR BAHRU, 15 JAN: Forum Pelancongan Asean (ATF) 2025 membuka tirai di sini hari ini, menghimpunkan pihak berkepentingan dalam pelancongan dari seluruh Asia Tenggara untuk siri acara selama seminggu bertujuan meningkatkan kerjasama dan menggalakkan pertumbuhan mampan sektor itu di rantau ini.

Berlangsung di sebuah hotel di sini hingga 20 Jan, forum bertemakan "Unity in Motion: Shaping ASEAN's Tourism Tomorrow," mencerminkan matlamat untuk memupuk kerjasama merentasi sempadan budaya dan geografi.

Forum akan dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing bersama menteri-menteri pelancongan negara Asean, pegawai kerajaan, pemimpin korporat dan wakil media daripada 10 negara anggota Asean.

Pelbagai aktiviti dirancang sepanjang enam hari acara itu berlangsung, termasuk mesyuarat peringkat tinggi seperti Mesyuarat Perundingan Pelancongan Asean-Rusia ke-15, Mesyuarat Kumpulan Kerja Pelancongan Asean-India ke-33 dan Mesyuarat Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan Asean (NTO) ke-61.

Turut diadakan Mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan Asean ke-28, Anugerah Pelancongan Asean dan Sidang Media Menteri Pelancongan Asean selain pameran perdagangan Travel Exchange (TRAVEX).

Travel Exchange (TRAVEX) berfungsi sebagai platform yang menumpukan kepada perdagangan menyaksikan produk serta perkhidmatan pelancongan dari seluruh Asean dipamerkan dan dijangka bakal menarik ratusan penjual dan pembeli sambil menyediakan peluang untuk perniagaan menjalin perkongsian, mempromosikan pelancongan serantau di samping memacu pertumbuhan sektor itu.

Forum itu juga akan menganjurkan Mesyuarat Menteri Pelancongan Asean, Majlis Anugerah Pelancongan Asean selain sidang media menteri pelancongan Asean yang akan mengetengahkan pencapaian dan usaha berterusan untuk menyokong pelancongan yang mampan.

Acara itu juga akan menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Korea Selatan untuk mengukuhkan lagi sektor pelancongan kedua-dua negara.

ATF 2025 mempunyai peranan penting kerana Malaysia menyandang jawatan Pengerusi Asean tahun ini, seterusnya memperkukuh komitmennya untuk memacu pelancongan mampan di rantau ini.

Pada ATF 2024 di Vientiane, Laos, yang diadakan pada tahun lepas, Malaysia menumpukan kepada usaha mempertingkatkan amalan pelancongan mampan bertujuan mempromosikan ekopelancongan, memelihara sumber semula jadi dan melibatkan komuniti setempat.

Ini kali kedua Malaysia menganjurkan ATF selepas yang pertama di Kuching, Sarawak pada 2014.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619