AGENDA

Lima maut: Remaja ditahan memandu tanpa lesen, akibatkan kemalangan

15 Jan 2025, 12:17 AM
Lima maut: Remaja ditahan memandu tanpa lesen, akibatkan kemalangan

KUCHING, 15 JAN: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan kerana dipercayai memandu kereta tanpa lesen dan mengakibatkan kemalangan yang meragut lima nyawa di Jalan Stutong Baru tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu suspek telah hilang kawalan sebelum terbabas ke jalan bertentangan dan merempuh dua motosikal serta dua kereta.

"Akibat kemalangan tersebut, empat mangsa (tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan) berusia antara 16 hingga 45 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa berusia 16 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit kecemasan," katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Mohd Farhan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

"Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Lucas Apin di talian 013-8246881 / 082-259900 atau melaporkan ke mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619