ad
AGENDA

Jakim diarah bekerjasama dengan KPDN, ambil tindakan pihak tipu logo halal

13 Jan 2025, 12:00 PM
Jakim diarah bekerjasama dengan KPDN, ambil tindakan pihak tipu logo halal
Jakim diarah bekerjasama dengan KPDN, ambil tindakan pihak tipu logo halal

PUTRAJAYA, 13 JAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengambil tindakan penguatkuasaan dan membawa ke muka pengadilan terhadap pihak yang menyalahgunakan logo halal.

Mohd Na'im dalam kenyataan hari ini berkata tindakan segelintir pihak yang menyalahgunakan label logo halal pada produk adalah satu kesalahan yang serius.

[caption id="attachment_681913" align="alignleft" width="405"] Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar[/caption]

"JPM (Hal Ehwal Agama) ingin memberikan peringatan kepada semua pihak agar tidak menyalahgunakan label logo halal pada mana-mana produk yang dikeluarkan.

"Tindakan menyalahgunakan label logo halal adalah suatu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011," katanya.

Mohd Na'im berkata JPM (Hal Ehwal Agama) turut berasa dukacita dengan kejadian yang berlaku di premis jualan runcit 24 jam di sebuah universiti awam kerana menjual produk 'ham dan cheese' yang tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

"JPM (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan apa-apa isu yang melibatkan integriti dan kepentingan awam.

"Semua pihak dimohon untuk sentiasa merujuk kepada JAKIM dan pihak berkuasa agama Islam Negeri-Negeri dalam isu-isu berkaitan halal," katanya.

Terdahulu, JAKIM dalam kenyataan media mengesahkan produk 'ham dan cheese' yang dijual dalam premis di sebuah universiti awam di Kuala Lumpur tidak mempunyai SPHM dan syarikat yang menghasilkan produk itu bukan pemegang SPHM.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Datuk Azman Adam KPDN dalam kenyataan media berasingan berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap sebuah kilang pembuat roti sandwic di Sunway Damansara, Petaling Jaya, Selangor kerana disyaki menyalah guna logo halal.

Kes disiasat kerana melanggar Perenggan 4(1) Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] dan menjadi kesalahan di bawah Perenggan 8(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

-- BERNAMA

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.