ad
BERITA UTAMA

Anwar pacu kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi negara rancak

13 Jan 2025, 4:00 AM
Anwar pacu kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi negara rancak
Anwar pacu kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi negara rancak
Anwar pacu kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi negara rancak
Anwar pacu kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi negara rancak
Anwar pacu kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi negara rancak

Mencecah usia dua tahun pentadbiran, Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mencapai kestabilan politik paling kukuh manakala pertumbuhan ekonomi pula semakin melonjak.

Meski ada kekurangan dan banyak penambahbaikan boleh dibuat, Anwar sejak mengangkat sumpah pada 24 November 2022 mengukir pelbagai kejayaan yang tidak berlaku semasa negara diterajui pemimpin-pemimpin sebelumnya.

Hasil dua tahun perancangan rapi, ekonomi Malaysia tumbuh pesat dan mencatat angka memberangsangkan. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pertumbuhan antara Januari hingga September 2024 berkembang kepada 5.2 peratus.

Angka tersebut meningkat ketara berbanding 3.8 peratus yang dicatat dalam tempoh sama pada 2023. Hasil limpahan itu, kelompok rakyat mula menikmati manfaat, antaranya penjawat awam yang menikmati kenaikan gaji selepas 13 tahun langsung tiada semakan.

[caption id="attachment_661129" align="aligncenter" width="814"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni para peserta yang menjayakan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 bertemakan “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka” di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2024.Foto BERNAMA[/caption]

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dalam program Sembang Malam terbitan Media Selangor pada 23 Disember yakin sektor ekonomi dijangka makin melimpah berikutan Malaysia menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Asean pada tahun ini.

“Sudah pasti akan berlaku limpahan ekonomi. Kejayaan ini bukan sekadar jaminan kestabilan tetapi demi masa depan lebih cerah,” katanya.

Senada dengan Fahmi, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari percaya kestabilan politik bawah kepimpinan Anwar berada pada tahap paling utuh sejak 2008.

Beliau mengingatkan Anwar perdana menteri pertama yang bertahan dalam tempoh lebih 22 bulan, kini mencapai 24 bulan. Sebelum ini, kedudukan kerajaan dilihat terumbang-ambing berikutan hayat pentadbiran negara terlalu singkat sehinggakan perdana menteri silih berganti.

Selepas kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak tumbang dalam pilihan raya pada 2018, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri untuk kali kedua. Ekoran Langkah Sheraton, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih teraju selama 17 bulan sebelum hilang sokongan ahli parlimen.

Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakob pula menerajui negara kurang dua tahun, antara 21 Ogos 2021 hingga 23 November 2022.

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat dan mengetuai gabungan paling besar dalam sejarah politik Malaysia membabitkan 19 parti, menjadi perdana menteri pertama meraih majoriti dua pertiga dalam parlimen sejak 2008.

Anwar menonjol

Namun, beliau mengakui kestabilan pentadbiran itu perlu diperjelas kepada segenap lapisan rakyat supaya mereka tidak keliru dengan tanggapan serong dan kempen antikerajaan.

“Kelebihan yang ada pada Anwar harus menjadi keutamaan untuk diterangkan kepada rakyat serta kepentingan kestabilan untuk membuat keputusan (dasar) yang terbaik dan mencerminkan pencapaian Kerajaan Perpaduan,” katanya yang juga ahli panel.

Pun begitu, ahli parlimen Gombak itu percaya perwatakan Anwar yang menonjol selaku pemimpin negara waima pada peringkat dunia, menyebabkan susuk itu terdedah kepada sasaran kritikan.

“Semua memang tahu PMX (Anwar) ahli politik yang bekerja keras, tapi tetap nampak Anwar juga buruk atau baik sebab beliau amat menonjol. Ada yang melihat Anwar tidak dilihat sebagai pasukan Madani atau pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Memang diakui serangan utama adalah Anwar, jadi saya lihat itu yang dibebankan kepada Anwar sekarang. Oleh sebab itu, pasukannya kena menonjol, lebih pantas berbanding PMX,” katanya.

Meskipun begitu, Amirudin tidak beranggapan kabinet sedia ada tidak berfungsi, sebaliknya susuk Anwar dilihat jauh lebih terkedepan. Keadaan tersebut sekali gus membuktikan imej perdana menteri sebenarnya bagus, tetapi menjadi sasaran serangan bersifat peribadi.

“Ini antara realiti yang harus disedari. Saya juga percaya kalau boleh rakan-rakan kabinet menanggung bersama-sama beban kerja ataupun populariti,” kata Amirudin lagi.

Keyakinan Melayu

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar pula menerangkan sokongan dan keyakinan masyarakat Melayu antara cabaran yang perlu didepani Anwar dan pentadbirannya meski kerajaan menabur pelbagai program kebajikan.

Menurut kaji selidik untuk tempoh dua tahun pentadbiran Kerajaan Madani, sokongan orang Melayu terhadap Anwar hanya 44 peratus. (Bagaimanapun, kajian Merdeka Center pada 23 Disember menunjukkan populariti Anwar meningkat kepada 54 peratus, naik berbanding tahun sebelumnya).

“Usaha kerja kuat (Kerajaan Perpaduan) diganggu dengan sentimen. Contohnya kejadian kibar bendera China di Teluk Intan (Perak). Kejadian itu menyebabkan rakyat membangkitkan pelbagai reaksi.

“Tapi kita lihat bagaimana kerajaan jawab? Mereka (kerajaan) tidak beri respon yang boleh meneutralkan keadaan itu,” kata ahli panel itu dalam program kendalian Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar.

[caption id="attachment_664408" align="aligncenter" width="814"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara Stadium Suka Menanti, Kedah pada 21 September 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim[/caption]

Namun, Hisomuddin yakin belum terlambat untuk perdana menteri menangani isu keyakinan pengundi Melayu terhadap Kerajaan Perpaduan. Penekanan harus tertumpu kepada tindakan untuk menangkis rasa tidak percaya pimpinan Anwar dalam menjaga kepentingan orang Islam.

“Perlu ada usaha dan kerja kuat dari pihak kerajaan apabila datang isu sensitif,” katanya lagi.

Amirudin pula berpandangan pembangunan ekonomi perlu menjadi tonggak bagi mendapatkan kepercayaan rakyat. Justeru, Kerajaan Madani gigih memulih ekonomi. Meski usaha itu ditertawa pada peringkat awal tetapi hasilnya membawa dampak positif pada kemudian hari.

Beliau memberi contoh kenaikan subsidi padi daripada RM360 kepada RM500 satu tan, peningkatan RM140 membabitkan peruntukan tambahan RM1 bilion setahun. Ia satu-satunya kenaikan sejak terakhir kali kira-kira 25 tahun lalu. Selain itu, Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang naik kepada RM3 sekilogram hasil peruntukan RM400 juta.

“Benarkah tiada anjakan (penyokong Melayu)? Saya lihat ada kajian peningkatan Melayu, Cina secara langsung dalam Kerajaan Perpaduan. Tetapi saya setuju (kepercayaan) mudah terganggu.

“Tidak lain tidak bukan, bila semua orang boleh jadikan bahan (provokasi) media. Satu sahaja cara untuk bangkitkan keresahan, kaitkan dengan kesusahan, kematian. Jadi pendekatan sewajarnya adalah menjadikan komunikasi lebih mudah,” katanya.

Sebaliknya, pengurangan subsidi bahan tertentu antaranya diesel sememangnya langkah tidak popular di mata rakyat. Namun, pelaksanaannya membantu kerajaan untuk mengurangkan pinjaman tahunan kepada RM86 bilion bagi 2024 berbanding RM93 bilion pada 2023.

“Macam mana pun tindakan tidak populis akan bebankan kita. Oleh sebab itu, kerajaan kena salurkan maklumat, kenapa langkah diambil dan kenapa ia dilakukan, saya sendiri lakukan langkah tidak popular, susun semula air percuma.

“Ia kena diikuti penerangan dan bantu mereka (rakyat) faham. Akhirnya pelaksanaan ini semakin difahami. Memang bimbang nak buat tapi komunikasi paling penting. Sebab itu bahagian komunikasi saya letak bawah pejabat menteri besar. Supaya saya boleh pantau penerangan ini sampai atau tidak,” katanya.

[caption id="attachment_670912" align="aligncenter" width="766"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri kenduri rakyat di pekarangan Masjid Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selepas program Temu Anwar di universiti itu pada 1 November 2024. Foto Facebook BERNAMA[/caption]

Sependapat dengan Dato’ Menteri Besar, Fahmi mengakui sememangnya aspek komunikasi lebih dipertingkat untuk berdepan kritikan awam, khususnya membabitkan isu subsidi bersasar.

Merujuk isu subsidi bahan api yang dicadang untuk dijalankan pada pertengahan tahun ini, beliau mengakui tindakan tersebut boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat jika ia tidak dijelaskan dengan tuntas.

“Kita perlu berlaku adil kepada 85 peratus yang tidak akan terjejas. Bagi mereka yang menikmati lebih banyak manfaat atau menggunakan subsidi secara tidak seimbang, kita hanya minta penyesuaian.

“Isunya timbul apabila penerima manfaat perlu menghadapi perubahan walaupun kecil. Jika perubahan ini tidak dijelaskan dengan baik, ada yang tidak sedar mereka masih menikmati subsidi,” katanya.

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.