AGENDA

JPJ periksa 34 Puspakom, sita kenderaan perdagangan gagal patuhi peraturan

13 Jan 2025, 3:33 AM
JPJ periksa 34 Puspakom, sita kenderaan perdagangan gagal patuhi peraturan

PUTRAJAYA, 13 JAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa 37 Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) menerusi Ops Khas di seluruh negara serta menyita kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata menerusi Ops Khas Puspakom bermula 31 Dis sehingga kini, sebanyak 21 kenderaan disita antaranya melibatkan kesalahan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor palsu dan guna kenderaan tidak berdaftar.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata kesalahan lain termasuk Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans tamat tempoh serta menggunakan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor syarikat lain.

“Daripada jumlah sitaan itu, JPJ turut mengesan sebuah lori diluluskan oleh Puspakom sedangkan keadaan fizikal kenderaan berkenaan tidak mematuhi standard keselamatan kenderaan.

“Tindakan sitaan terhadap kenderaan itu diambil di bawah Seksyen 64(1) Akta 333 bagi mengelakkan berlaku kesalahan berterusan,” katanya.

Berikutan kes itu, JPJ telah mengadakan kerjasama strategik dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes melibatkan penyelewengan terhadap keputusan pemeriksaan kenderaan di Puspakom.

“Pihak JPJ juga akan mengadakan penguatkuasaan secara berterusan dan bersepadu dengan agensi penguat kuasa yang lain.

“JPJ sentiasa komited dalam memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya dan berusaha meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya terutama yang melibatkan kenderaan perdagangan,” katanya.

Ops Khas Puspakom dilaksana untuk memastikan keselamatan kenderaan dan membendung kesalahan teknikal pada kenderaan perdagangan sebelum, semasa, dan selepas melakukan pemeriksaan berkala atau awalan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619