AGENDA

Kebun sayur di Telok Panglima Garang digempur, 65 warga asing ditahan

10 Jan 2025, 7:58 AM
Kebun sayur di Telok Panglima Garang digempur, 65 warga asing ditahan

PUTRAJAYA, 10 JAN: Kebun sayur berkeluasan lima hektar di Telok Panglima Garang, Selangor yang diusahakan warga asing dari Bangladesh dan Pakistan digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata warga asing yang mengusahakan kebun sepanjang Jalan Halia Muda, Kampung Johan Setia, itu berselindung di sebalik Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sektor pembinaan yang tamat tempoh pada 9 Januari 2025.

"Berdasarkan aduan awam dan risikan seminggu, pasukan operasi dengan 69 pegawai diatur gerak ke kawasan kebun itu dan memeriksa 70 individu terdiri warganegara asing dan seorang warga tempatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di kawasan itu, JIM menahan 65 warganegara asing terdiri 42 lelaki warganegara Bangladesh, 13 lelaki dan seorang wanita warganegara Myanmar, empat lelaki dan dua perempuan warganegara Indonesia, dua lelaki warganegara Pakistan dan seorang lelaki warganegara India.

Mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Zakaria berkata kesemua yang ditahan berumur di antara 18 hingga 60 tahun dan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Operasi itu bermula pada 11.30 pagi melibatkan Cawangan Tindakan Khas, Bahagian Penguatkuasaan bersama-sama Pasukan Taktikal Khas (PASTAK), Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619