AGENDA

Indonesia nyata hasrat bantu Malaysia dalam Kepengerusian Asean

9 Jan 2025, 7:22 AM
Indonesia nyata hasrat bantu Malaysia dalam Kepengerusian Asean

SEPANG, 9 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata Indonesia telah menyatakan komitmen untuk membantu dan memberi kerjasama kepada Malaysia dalam Kepengerusian ASEAN tahun ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata perkara itu dinyatakan Presiden Indonesia Prabowo Subianto dalam pertemuan tertutup semasa majlis makan tengah hari yang diadakan di ibu negara hari ini.

“Kunjungan rasmi Prabowo pada 27 Jan ini, tetapi beliau rasa nak datang (hari ini) kerana kita sahabat lama dan kita perlu berbincang dari hati ke hati isu bersama.

“Hasrat beliau (adalah) untuk bekerjasama serta membantu saya dalam Kepengerusian ASEAN,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), selepas menghantar Prabowo pulang ke Indonesia yang menamatkan lawatan kerja sehari ke Malaysia.

Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN bermula bulan ini dengan Tema Kepimpinan ASEAN 2025 Malaysia adalah 'Keterangkuman dan Kelestarian'. Sebelum ini Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Anwar berkata semasa pertemuan tidak rasmi itu, mereka turut berbincang mengenai hubungan dua hala, khususnya bagi meningkatkan hubungan perdagangan, pelaburan, kerjasama perbatasan serta beberapa isu berbangkit.

“Tentunya pertemuan ini lebih banyak (perbincangan) tidak rasmi. Kedua-dua kami berasa harus dilakukan sesuatu yang lebih untuk meningkatkan hubungan perdagangan, pelaburan, kerjasama perbatasan serta menyelesaikan beberapa masalah berbangkit,” katanya.

Terdahulu Anwar dan Prabowo yang menaiki kenderaan sama, tiba di Kompeks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada 1.10 petang.

Sebelum menaiki pesawat khas membawa presiden negara Indonesia itu pukul 1.20 petang, Prabowo melintasi barisan kawalan kehormatan 28 pegawai serta anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat), diketuai Kapten Raja Azri Syahir.

Hadir sama Duta Besar Indonesia ke Malaysia Datuk Hermono.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan lawatan itu adalah cerminan hubungan istimewa antara Malaysia dan Indonesia yang ditunjangi oleh kerjasama kukuh dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, sosio-budaya, pertahanan dan keselamatan.

Pada 2023, Indonesia merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM111.21 bilion (US$24.39 bilion).

Sejak Januari hingga Okt 2024, jumlah dagangan dua hala telah mencecah RM95.50 bilion (US$20.75 bilion) berbanding RM94.37 bilion (US$20.69 bilion) dalam tempoh yang sama pada 2023.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619