AGENDA

Anwar, Prabowo bincang perkukuh hubungan Malaysia-Indonesia

9 Jan 2025, 6:41 AM
Anwar, Prabowo bincang perkukuh hubungan Malaysia-Indonesia

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengadakan perbincangan tertutup yang memfokuskan kepada usaha mengukuhkan hubungan dua hala di ibu negara Malaysia pada Khamis.

Pertemuan itu diadakan semasa majlis makan tengah hari secara tertutup yang dihoskan oleh Anwar di Rumah Tangsi, sebagai sebahagian daripada lawatan kerja sehari Prabowo ke Malaysia.

Ini merupakan lawatan kerja pertama Prabowo ke Malaysia sejak memegang jawatan pada Oktober 2024.

“Lawatan ini mencerminkan hubungan istimewa antara Malaysia dan Republik Indonesia yang ditunjangi oleh kerjasama kukuh dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, sosiobudaya, pertahanan dan keselamatan,” menurut kenyataan Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra pada Khamis.

Sebaik sahaja majlis makan tengah hari selesai, Anwar dilihat menaiki kereta bersama Prabowo, yang dijadualkan berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Turut menyertai delegasi Prabowo ialah Menteri Luar Indonesia, Sugiono.

Indonesia ialah rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN pada 2023.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah RM111.21 bilion (US$24.39 bilion) tahun lepas.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2024, dagangan dua hala bernilai RM95.50 bilion (US$20.75 bilion), berbanding RM94.37 bilion (US$20.69 bilion) bagi tempoh yang sama pada 2023.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619