AGENDA

Cadangan ujian air kencing masuk konsert hanya untuk individu timbul syak

8 Jan 2025, 11:06 AM
Cadangan ujian air kencing masuk konsert hanya untuk individu timbul syak

SHAH ALAM, 8 JAN: Cadangan saringan air kencing sebagai tatacara operasi piawai (SOP) bagi memasuki konsert hanya disyorkan kepada individu yang menimbulkan syak, bukan melibatkan semua pengunjung.

EXCO kerajaan tempatan menjelaskan, sebagai contoh jika terdapat individu membawa bahan terlarang atau dadah, pihak berkuasa dengan kerjasama polis berhak mengambil tindakan sewajarnya.

Dato’ Ng Suee Lim juga memberi jaminan, penggiat industri tidak perlu bimbang kerana SOP memasuki konsert masih sama, namun pemantauan perlu diperketat bagi mengelak insiden tidak diingini berulang.

“Cadangan ini adalah sebahagian daripada langkah awal bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak yang menghadiri acara hiburan di negeri ini.

“Pentadbiran mencadangkan agar ujian saringan air kencing hanya dilaksanakan kepada individu yang menimbulkan syak sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Suee Lim, Kerajaan Negeri mengamalkan dasar progresif dan inklusif selain terbuka mengalu-mengalukan penganjuran konsert hiburan yang sihat dan mengembangkan industri pelancongan serta memberi impak positif menjana ekonomi Selangor.

“Kami terbuka dengan sebarang maklum balas dan pandangan daripada pihak berkepentingan terutama penggiat industri demi memastikan usaha ini dapat dilaksanakan secara harmoni.

“Selangor sentiasa komited menjadikan negeri ini sebagai destinasi pilihan pelancong, sama ada dari dalam atau luar negara dengan sasaran lapan juta pelawat sempena Tahun Melawat Selangor 2025,” katanya.

Kelmarin, Suee Lim dilaporkan berkata Selangor akan mengesyorkan ujian air kencing sebagai antara SOP kepada pengunjung dalam usaha mengelak sebarang penglibatan dan pengambilan dadah ketika penganjuran konsert di negeri ini.

Ia susulan kematian empat individu berusia lingkungan 20 hingga 40-an termasuk dua wanita selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu di Subang Jaya.

Pada 3 Januari, polis Selangor menangguhkan sementara semua permit penganjuran konsert di negeri ini sehingga siasatan kes kematian empay individu terlibat selesai dijalankan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619