ad
AGENDA

Pemandu bas ekspres parah, lapan cedera kemalangan lapan kenderaan

8 Jan 2025, 8:20 AM
Pemandu bas ekspres parah, lapan cedera kemalangan lapan kenderaan

MELAKA, 8 JAN: Pemandu bas ekspres parah, lapan lagi cedera dalam kemalangan melibatkan lapan kenderaan di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Alor Gajah (SPA) di Ayer Keroh di sini pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Mohd Pisar Aziz berkata pihaknya menerima panggilan pada 10.28 pagi dan sepasukan bomba digerakkan ke tempat kejadian yang berhampiran dengan persimpangan Pusat Simpanan Kenderaan Berat di sini.

"Setibanya di lokasi kita dapati lapan kenderaan terlibat iaitu sebuah bas ekspres, tiga lori dan dua pacuan empat roda dengan keseluruhan 15 mangsa iaitu 13 lelaki dan dua wanita.

"Selain pemandu lelaki, lapan mangsa cedera ringan manakala enam lagi terselamat. Mereka dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd Pisar berkata 24 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Ayer Keroh digerakkan ke lokasi untuk operasi menyelamat dengan bantuan BBP Bukit Katil dan BPP Jasin Bestari.

Sementara itu, pemandu lori tanah Ahmad Tarmizi Maan, 33, yang terselamat berkata ketika kejadian dia memberhentikan kenderaan di persimpangan lampu isyarat kerana lampu merah sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari arah belakang.

Dia mendapati lori muatan kotak melanggar belakang lori lain dan beberapa saat kemudian lori itu dirempuh kenderaan lain termasuk bas ekspres.

"Saya tidak berfikir panjang dan terus membantu pemandu yang mengerang kesakitan kerana tersepit sementara menunggu bantuan bomba dan ambulans," katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.