ad
AGENDA

Empat lelaki, sebuah bot ditahan di perairan Sungai Janggut

7 Jan 2025, 9:35 AM
Empat lelaki, sebuah bot ditahan di perairan Sungai Janggut

SHAH ALAM, 7 JAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan dan empat lelaki termasuk dua warga Myammar, kerana menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran di kedudukan 2.55 batu nautika barat Sungai Janggut, Klang, dekat sini pagi tadi.

Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata penahanan semua individu termasuk seorang tekong warga tempatan pada 3.25 pagi itu dilakukan ketika pihaknya sedang melakukan rondaan di perairan negeri itu.

“Ketika rondaan, APMM mengesan vesel berkenaan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di kedudukan kurang lapan batu nautika dari daratan.

“Pemeriksaan awal mendapati, vesel itu dikendalikan tekong tempatan berumur 41 tahun dan tiga awak-awak, iaitu seorang warga tempatan 38 tahun manakala dua lagi lelaki Myanmar, masing-masing 45 dan 33 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Muhaimin berkata pemeriksaan lanjut mendapati dua kru warga asing itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah dan permit kerja atau surat kebenaran dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk bekerja di atas bot.

Beliau berkata mereka ditahan bersama hasil tangkapan ikan dianggar 150 kilogram sebelum diiring ke jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

Katanya kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menunda atau melakukan aktiviti penangkapan ikan di bawah lapan batu nautika dan pemilik tidak mengusahakan sendiri dengan menggajikan warga asing tanpa kebenaran.

“Kes itu juga disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana dua kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Muhaimin berkata pihaknya menerima banyak aduan khususnya nelayan tradisional berkenaan kegiatan ‘tarik tepi’ dan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pelanggaran syarat sah lesen yang dibenarkan.

Aktiviti ‘tarik tepi’ adalah aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan pukat yang ditarik oleh bot nelayan di kawasan perairan yang dangkal dan dekat dengan pantai.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.