AGENDA

Wisma Putra: Tiada rakyat Malaysia terjejas gempa bumi di Nepal

7 Jan 2025, 7:04 AM
Wisma Putra: Tiada rakyat Malaysia terjejas gempa bumi di Nepal

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Kementerian Luar hari ini mengesahkan, setakat ini tiada laporan tentang rakyat Malaysia terjejas akibat gempa bumi berukuran 6.5 magnitud yang melanda kawasan kira-kira 84km dari Lobuche, Nepal pada pagi Selasa.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra menggesa rakyat Malaysia di Nepal agar kekal berwaspada, mematuhi garis panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan dan berhati-hati dalam menghadapi situasi selepas gempa bumi.

Wisma Putra turut menggalakkan rakyat Malaysia di Nepal untuk mendaftar kehadiran mereka melalui platform E-Konsular serta kekal berhubung dengan Kedutaan Malaysia untuk maklumat terkini dan bantuan.

Untuk bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu di Bakhundole-3, Lalitpur, melalui telefon di talian +977-1-5445680 atau +977-1-5445681 untuk pertanyaan umum atau +977-9801008000 untuk kecemasan.

Mereka juga boleh menghantar e-mel ke mwkathmandu@kln.gov.my untuk bantuan umum atau kathmandu@imi.gov.my bagi urusan imigresen.

Kementerian itu menegaskan komitmennya untuk memantau dengan teliti perkembangan dan memberikan maklumat terkini apabila perlu.

Menurut laporan media antarabangsa, setakat ini 53 maut selepas gempa bumi berukuran 7.1 magnitud melanda Tibet berhampiran sempadan Nepal pada Selasa.

Gegaran itu turut dirasai di beberapa kawasan di India, termasuk Bihar, Assam dan Bengal Barat.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619