AGENDA

Duit simpanan nelayan RM5,000 hangus dalam kebakaran 13 rumah

5 Jan 2025, 11:02 AM
Duit simpanan nelayan RM5,000 hangus dalam kebakaran 13 rumah

SUNGAI PETANI, 5 JAN: Duit simpanan keluarga seorang nelayan untuk membayar sewa rumah dan ansuran pinjaman kereta hampir RM5,000 hangus dalam kebakaran membabitkan 13 rumah di Tanjung Dawai di sini pagi tadi.

Julaili Abdullah, 32, berkata ketika kejadian dia sedang menyiapkan anak perempuannya berusia lima tahun sebelum dihantar ke tadika.

"Suami kerja sebagai nelayan dan dia ada di rumah waktu kejadian tapi dia pun hanya sempat selamatkan dokumen penting, saya pula bawa anak-anak ke tempat selamat. Perabot semuanya musnah termasuk duit tabung," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Seorang lagi mangsa Azme Omar, 60, pula berkata kejadian malang itu kali kedua menimpanya selepas insiden pertama berlaku di lokasi berdekatan kira-kira 30 tahun lepas.

"Saya baru sudah menangkap ikan, dalam perjalanan pulang ada penduduk beritahu rumah saya terbakar dan dari atas bot sudah nampak kepulan asap, rasa sebak sangat.

"Kali ini tiada yang tinggal, gambar kenangan arwah isteri yang meninggal dunia dua tahun lepas juga musnah," katanya.

Sementara itu, Azlida Abd Rahim, 29, memberitahu dia baru pulang daripada menghantar laksam untuk jualan dan terdengar suara jiran meminta tolong pada kira-kira pukul 7.30 pagi.

"Bila dengar suara jiran, saya buka pintu dapur dan nampak rumah mereka yang terletak bertentangan dengan dapur rumah saya dah terbakar," katanya.

Terdahulu, seorang lelaki berusia 30-an dilaporkan melecur pada bahagian kaki dan tangan dalam kejadian kebakaran membabitkan 13 buah rumah di Kampung Keda Tanjung Dawai, Bedong di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi (PPON) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Azhar Mohamad berkata jentera pertama tiba di lokasi pada 7.53 pagi dan api berjaya dikawal pada 8.12 pagi.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619