AGENDA

Lelaki ditahan dipercayai terlibat kes rasuah Puspakom

4 Jan 2025, 3:09 AM
Lelaki ditahan dipercayai terlibat kes rasuah Puspakom

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lelaki kerana disyaki terlibat dalam kes rasuah berkaitan pemeriksaan kenderaan berat di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di ibu negara.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan suspek berumur 40-an itu ditahan petang semalam hasil kolaborasi strategik antara suruhanjaya itu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Individu terbabit telah diserahkan oleh JPJ kepada SPRM petang tadi (semalam) dan ditahan selepas dirakam keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati suspek membuat bayaran rasuah berjumlah ratusan ringgit bagi setiap kenderaan yang diperiksa, sebagai balasan untuk meluluskan pemeriksaan kenderaan berat di Puspakom,” menurut kenyataan itu.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 dan suspek akan direman di Mahkamah Putrajaya pagi ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan penahanan terbabit mencerminkan komitmen teguh SPRM dan JPJ dalam memastikan proses pemeriksaan kenderaan terus terpelihara dan bebas daripada sebarang amalan rasuah.

“SPRM menegaskan komitmennya untuk terus memerangi rasuah, khususnya yang melibatkan sektor penguatkuasaan, demi memastikan perkhidmatan awam di negara ini kekal telus, berintegriti dan dipercayai rakyat,” menurut kenyataan itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619