AGENDA

PBB: Penduduk dikepung, tiada zon selamat di Gaza

3 Jan 2025, 3:40 PM
PBB: Penduduk dikepung, tiada zon selamat di Gaza

NEW YORK, 3 JAN: Tiada tempat selamat untuk orang awam di Gaza, dengan lebih 80 peratus Semenanjung Gaza berada di bawah arahan pemindahan Israel, kata badan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis, menurut laporan Xinhua.

Ketua Pesuruhjaya Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) Philippe Lazzarini berkata di platform media sosial X, "Tiada zon kemanusiaan apatah lagi 'zon selamat.'"

Beliau menyeru agar arahan pemindahan yang mengelirukan serta pembunuhan orang awam dihentikan, sambil memberi amaran yang setiap hari tanpa gencatan senjata membawa lebih banyak tragedi.

Sementara itu, Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata tentera Israel mengarahkan pemindahan besar-besaran di Gaza, dengan alasan serangan roket ke Israel. Analisis awal menunjukkan arahan baharu itu melibatkan kawasan seluas kira-kira tiga kilometer persegi di kawasan utara Gaza dan kawasan Deir al Balah. Serangan dilaporkan berlaku di kawasan Al Mawasi, yang orang awam diarahkan berpindah untuk berlindung.

"Lebih 80 peratus Semenanjung Gaza berada di bawah perintah pemindahan Israel yang tidak ditarik balik. Dalam situasi ini, OCHA memberi amaran yang keupayaan organisasi kemanusiaan untuk membantu mereka yang memerlukan di seluruh Gaza semakin terhad," kata OCHA.

Sekatan paling ketat terhadap pergerakan kemanusiaan direkodkan bulan lalu, termasuk halangan untuk mengakses kawasan sempadan bagi mengumpul bekalan, menyekat penghantaran barangan dan perkhidmatan atau menilai keperluan di Gaza. Secara keseluruhan, 39 peratus percubaan PBB untuk memindahkan pekerja bantuan di Gaza ditolak oleh pihak berkuasa Israel, manakala 18 peratus lagi terganggu atau dihalang.

Akses ke kawasan yang terkepung di utara Gaza dinafikan sejak 6 Okt. Menurut OCHA, daripada 166 percubaan, 150 ditolak, manakala 16 lagi pada mulanya diluluskan tetapi kemudian terganggu atau dihalang. Akses ke hospital yang masih beroperasi di utara adalah antara keutamaan utama.

Menurut OCHA , di Tebing Barat agensi itu bersama UNRWA dan rakan agensi kemanusiaan lain menilai kesan operasi Israel di kem pelarian Tulkarm dan Nur Shams minggu lalu. Mereka melawat kawasan itu pada Selasa dan menganggarkan lebih 1,000 unit rumah dan kira-kira 100 kedai rosak akibat letupan atau jentolak. Lebih 20 keluarga melibatkan lebih 90 orang terpaksa berpindah.

Kerosakan infrastruktur turut menyebabkan gangguan kepada bekalan elektrik, air dan rangkaian pembetungan. OCHA menggerakkan bantuan kemanusiaan dengan menghantar air melalui lori kepada penduduk.

Penilaian di Tebing Barat itu akan membantu menentukan langkah seterusnya, termasuk pemasangan tangki air baharu, pembersihan sistem pembetungan dan pengagihan kit kebersihan serta bantuan wang tunai kecemasan.

-- BERNAMA-XINHUA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619