AGENDA

Sebar risalah Kristian, tiga termasuk warga asing diambil keterangan

3 Jan 2025, 12:27 PM
Sebar risalah Kristian, tiga termasuk warga asing diambil keterangan

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Tiga individu termasuk dua warga asing dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menyebar risalah agama Kristian di hadapan sebuah pasar raya di Desa Setapak di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob berkata rakaman keterangan yang dilakukan pada semalam itu melibatkan pengadu dan dua warga asing berusia lingkungan 30-an.

“Mereka telah berada di negara ini sejak sebelum musim perayaan Krismas dan datang ke Malaysia atas tujuan melancong,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohamad Lazim Ismail berkata polis mengesahkan menerima satu laporan pada 10.19 malam Isnin lepas berhubung video tular mendakwa tiga individu menyebarkan risalah itu secara terbuka.

Dalam perkembangan lain, Azry Azmar berkata warga emas yang menjadi mangsa ragut di Jalan Limau Manis, Bangsar di sini pada 7 Okt lepas maut disebabkan radang paru-paru (pneumonia) dan mengesahkan kematian mangsa pada 30 Dis lepas bukan disebabkan kecederaan parah selepas diragut.

“Polis telah mengambil keterangan melibatkan pegawai perubatan yang merawat mangsa dan wakil pusat jagaan. Kes tersebut dirujuk semula kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan susulan,” katanya.

Pada Isnin lepas, dilaporkan polis akan membuat semakan bagi mengenal pasti sama ada kematian Lim Foong Mei, 78, mempunyai kaitan dengan kecederaan dialaminya ketika diragut.

Polis juga telah menahan suspek utama dalam kes ragut yang mungkin menyebabkan kematian mangsa.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619