AGENDA

Maritim selamat harta lebih RM1.5 bilion di laut sepanjang 2024

3 Jan 2025, 9:59 AM
Maritim selamat harta lebih RM1.5 bilion di laut sepanjang 2024

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah mencatatkan lebih RM1.5 bilion bagi jumlah nilai harta yang diselamatkan dalam operasi menyelamat maritim sepanjang tahun lepas.

Dalam satu hantaran dimuat naik di Facebook, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata nilai itu mewakili 218 kes insiden di laut dan melibatkan 1,256 mangsa.

“Seramai 1,168 orang berjaya diselamatkan manakala 62 mangsa meninggal dunia dan 26 lagi hilang,” katanya hari ini.

Sementara itu, APMM juga telah mencatatkan lebih RM91 juta bagi jumlah keseluruhan nilai tangkapan dan rampasan dalam operasi maritim yang dilaksanakan bagi tempoh sama.

Saifuddin Nasution berkata sebanyak 50,783 penggeledahan telah dijalankan dan 1,271 tangkapan dibuat.

Jumlah berkenaan merangkumi tangkapan dan rampasan nelayan asing (RM85 juta), diesel (RM1.3 juta), dadah (RM983,500), barangan terkawal (RM660,401), petrol (RM215,277), ketum (RM129,000), rokok (RM16,520) dan tangkapan serta rampasan lain-lain bernilai lebih RM2.6 juta.

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terus menjadi benteng utama dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara.

“Kerajaan memberi jaminan bahawa usaha memperkukuh keselamatan sempadan laut akan terus dipertingkatkan demi kedaulatan negara dan kesejahteraan seluruh rakyat,” katanya.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619