AGENDA

PM: Projek tebatan banjir, basmi miskin tegar perlu disegerakan

3 Jan 2025, 3:38 AM
PM: Projek tebatan banjir, basmi miskin tegar perlu disegerakan

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Semua isu mendesak, seperti kemiskinan tegar dan tebatan banjir perlu diselesaikan segera termasuk merombak unjuran projek sedia ada, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata hal ini kerana ia melibatkan kepentingan serta keselamatan nyawa dan harta benda rakyat.

"Saya setuju dalam perbincangan kita harus rombak itu semua kerana banjir mengorbankan nyawa dan harta … dan kalau perlu jimat daripada perbelanjaan lain, kita jimatkan, kalau perlu pinjam kita pinjam.

"Semua program mendesak, seperti kemiskinan tegar dan tebatan banjir harus disegerakan dan tidak ikut unjuran lima, enam tahun … supaya dalam tempoh singkat masalah itu diselesaikan sebaik mungkin," kata beliau ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Perdana Menteri berkata perkara ini harus diteliti semua ketua setiausaha kementerian (KSU) bagi menangani isu-isu mendesak itu termasuk mengambil inisiatif turun padang dengan memantau sendiri permasalahan dihadapi rakyat.

"Kalau tidak, KSU baru datang kemudian tengok skim banjir untuk tebatan banjir fasa satu di Rantau Panjang dah siap, fasa kedua 2026, fasa ketiga 2029, jadi orang Rantau Panjang kena tunggu 15 tahun baru nak siap? Tak usah bangkit keupayaan negeri, saya tidak mahu dengar hal itu, yang saya tahu kita mesti selesaikannya.

"Kerjasama dan perubahan tentunya melibatkan peruntukan kewangan besar, tetapi kalau perlu potong peruntukan daripada tempat lain, kita potong, kerana mesti selesaikan perkara asas dihadapi rakyat," kata Anwar.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619