ad
AGENDA

Sindiket edar peranti rokok elektronik mengandungi heroin tumpas

2 Jan 2025, 2:30 PM
Sindiket edar peranti rokok elektronik mengandungi heroin tumpas

PUTRAJAYA, 2 JAN: Polis menumpaskan sindiket pengedaran cecair peranti rokok elektronik atau vape disyaki mengandungi dadah jenis heroin di sebuah rumah dengan penahanan seorang lelaki di Sepang, Selangor pada 23 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata buruh berusia 24 tahun itu ditahan bersama 13 botol plastik berisi cecair vape disyaki mengandungi heroin yang dianggarkan seberat 319 gram (g).

Beliau berkata cecair itu yang dianggar bernilai RM4,200 dipercayai untuk dijual di sekitar Sepang.

“Semakan mendapati lelaki yang masih bujang itu memiliki tiga rekod lampau, namun negatif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norhizam berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan lelaki itu dituduh di Mahkamah Majistret Sepang pada 30 Disember lalu.

Dalam kes lain, beliau berkata pihaknya menggagalkan kegiatan pengedaran dadah jenis syabu dan ganja dengan penahanan lelaki berusia 35 tahun di Sungai Pelek, Sepang, 25 Disember lalu.

Lelaki terbabit yang bekerja sebagai pemandu lori, katanya didapati positif dadah jenis amphetamin, methamphetamin dan kanabis.

“Pemeriksaan pada beg silang lelaki itu menemukan satu peket plastik lut sinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu dianggar seberat 50.35g dan ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 130.11g, kesemuanya dianggar bernilai RM9,472.10,” katanya.

Norhizam berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39A (2) dan Seksyen 39B ADB 1952.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.