AGENDA

Empat petugas Puspakom beri keterangan di JPJ Putrajaya

2 Jan 2025, 12:22 PM
Empat petugas Puspakom beri keterangan di JPJ Putrajaya

SHAH ALAM, 2 JAN: Empat petugas Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) cawangan Wangsa Maju dipanggil memberikan keterangan berhubung siasatan terhadap kenderaan tidak mematuhi standard yang didakwa diluluskan pusat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Mahmood Razak Bahman berkata individu berkenaan dipanggil memberikan keterangan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya Isnin lalu dan hari ini.

Beliau berkata dua daripadanya adalah mereka yang bertindak meluluskan kenderaan berkenaan manakala dua lagi yang menggagalkan pemeriksaan itu.

“Saya mengesahkan dua individu telah memberikan keterangan kepada JPJ Putrajaya pada 30 Disember dan ada orang ketiga (yang dilihat) itu ialah Pengurus Wilayah Tengah Puspakom yang hanya menemani dua petugas terbabit.

“Sementara itu, dua lagi individu berkenaan dipanggil memberikan keterangan di JPJ Putrajaya hari ini,” katanya dalam sidang media di Puspakom Shah Alam di sini hari ini.

Mahmood Razak berkata Puspakom sehingga kini belum menerima apa-apa saman daripada JPJ sepanjang Op Mengejut yang kini memasuki hari ketiga.

Beliau turut menafikan dakwaan tujuh kenderaan disita JPJ dalam kawasan Puspakom Wangsa Maju sebaliknya hanya melibatkan sebuah kenderaan sahaja.

“Sejumlah 104 kenderaan yang disita di Perak sebenarnya berada di luar kawasan Puspakom dan masih belum diperiksa,” katanya.

Beliau berkata 43 cawangan Puspakom diserbu pada 30 Disember diikuti 42 cawangan sehari kemudian manakala untuk hari ini dua cawangan diperiksa setakat 2 petang iaitu di Glenmarie dan Seremban.

Mengulas lanjut, Mahmood Razak berkata setakat ini beliau berpuas hati dengan keterangan dua pekerjanya yang terkait dengan siasatan berkenaan.

Beliau turut memberi jaminan petugas yang didapati terlibat dengan apa juga bentuk kesalahan termasuk unsur rasuah tidak terlepas daripada tindakan tegas.

“Kalau tidak pernah melakukan kesilapan sebelum ini kita akan beri amaran lisan, seterusnya amaran bertulis, dan sekiranya kesilapan itu keterlaluan, kita akan buang,” katanya.

Dalam pada itu, Mahmood Razak berkata Puspakom bersedia untuk bekerjasama dengan JPJ dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dan memelihara integriti sistem pengangkutan negara.

Beliau berkata pihaknya menyambut baik kerjasama JPJ dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memeriksa dan memantau bengkel berdaftar serta bengkel tidak berlesen yang disyaki terlibat dalam isu sewa komponen kenderaan perdagangan.

“Puspakom akur kepada apa-apa arahan baharu yang akan dikeluarkan selaras usaha menangani tabiat yang tidak bertanggungjawab oleh pemilik kenderaan perdagangan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mahmood Razak berkata kira-kira lapan peratus kenderaan berat gagal pemeriksaan di Puspakom setiap tahun daripada purata 2.8 juta pemeriksaan yang dilakukan.

“Kira-kira purata 220,000 kenderaan (lapan peratus) kenderaan berat gagal pemeriksaan setiap tahun. Isu brek menjadi antara masalah besar dan utama diikuti keadaan tayar serta sistem kenderaan itu sendiri.

“Bagi keadaan tayar ia tidak semestinya tayar celup sebab apabila kenderaan itu digunakan berkali-kali, tayar akan mempunyai masalah,” katanya.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619