SHAH ALAM, 2 JAN: Proses perobohan Stadium Shah Alam mencapai kemajuan lebih 60 peratus setakat ini, lancar dan awal 20 hari berbanding yang dijadualkan.
Ketua pegawai eksekutif kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata pihaknya sangat menghargai sokongan rakyat terhadap pembangunan Kompleks Stadium Shah Alam (KSSA).
[caption id="attachment_680394" align="aligncenter" width="812"] Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) Dato’ Saipolyazan M Yusop ditemui pada majlis serahan sumbangan Bakul Makanan Yayasan MBI di Tapak Runtuhan Kolam Takungan Hillpark, Taman Seri Alam, Saujana Utama pada 2 Januari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“KSSA meliputi pelbagai jenis pembangunan termasuk stadium, teater tertutup, hab pengangkutan dan taman yang akan memberi kemudahan kepada penduduk sekitar Shah Alam dan mereka yang datang ke stadium,” kata Dato’ Saipolyazan M Yusop ditemui hari ini.
Menurutnya, turut dibangunkan projek tebatan banjir Sungai Damansara oleh Kerajaan Persekutuan di tanah berkeluasan 10 ekar berhampiran KSSA yang dijangka mampu menyelesaikan isu banjir sekitar Seksyen 13, Shah Alam.
“Kita dimaklumkan kontraktor telah dilantik untuk projek itu dan sekarang dalam proses penilaian dan rekabentuk.
"Bukan hanya stadium baharu tetapi selesaikan masalah setempat penduduk Seksyen 13 dan sekitar,” katanya.
Terdahulu, Saipolyazan menyempurnakan penyerahan 300 bakul makanan kepada mangsa terjejas banjir di Taman Seri Alam, Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini susulan kolam takungan berhampiran pecah sehingga kawasan sekitar perumahan dilimpahi air.
Projek pembangunan KSSA membabitkan tiga fasa dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029, dengan fasa pertama meliputi proses perobohan.
[caption id="attachment_672939" align="aligncenter" width="730"] Kontraktor MRCB menyiram air ketika melakukan kerja perobohan Stadium Shah Alam sewaktu tinjauan pada 11 November 2024 di Seksyen 13, Shah Alam. Proses merobohkan Stadium Shah Alam yang bermula awal Julai dijangka selesai sepenuhnya Mei tahun depan. Foto ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR[/caption]
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memberitahu suku pertama 2027 merangkumi pembangunan stadium, terminal bersepadu, plaza tempat letak kenderaan, kawasan rekreasi dan padang latihan.
Dato’ Seri Amirudin berkata fasa kedua pula meliputi binaan bangunan teater tertutup, ruang niaga, sayap sukan serta sayap belia, yang dijangka bermula pertengahan 2027 hingga akhir 2029.
[caption id="attachment_563156" align="aligncenter" width="812"] Orang ramai melihat reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dalam pameran awam di pusat beli-belah SACC, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]