AGENDA

Mangsa bah di Perak berkurang, Kelantan sedikit meningkat takat 8 malam

1 Jan 2025, 2:12 PM
Mangsa bah di Perak berkurang, Kelantan sedikit meningkat takat 8 malam

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Mangsa banjir di Kelantan yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sedikit meningkat malam ini manakala di Perak pula situasi bencana itu bertambah baik dan jumlah mangsa di Johor kekal tidak berubah.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 38 orang daripada 10 keluarga setakat jam 8 malam, berbanding 31 orang pagi tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa adalah dari daerah Pasir Mas dan kini ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh.

Sementara itu, portal Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi tahap bahaya tetapi menunjukkan trend menurun iaitu 9.39 meter (m) berbanding 9.80m pada pagi tadi.

Di Perak, mangsa banjir malam ini berkurangan kepada 307 mangsa daripada 59 keluarga, berbanding 399 mangsa daripada 86 keluarga pagi tadi dan mereka ditempatkan di PPS Dewan Kampung Asli Chinggung di daerah Muallim.

Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri Perak memaklumkan bahawa PPS Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Sekiah, yang sebelum ini menempatkan 21 mangsa, telah ditutup sepenuhnya 2 petang tadi.

Di Johor, jumlah mangsa banjir kekal 69 orang daripada 17 keluarga sejak jam 8 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan semua mangsa terjejas masih berada di dua PPS yang beroperasi di daerah Kota Tinggi.

"Seramai 42 orang daripada 12 keluarga berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Gembut, manakala 27 orang daripada lima keluarga ditempatkan di Balai Raya Kampung Perpat. Selain itu, hanya stesen Sungai Simpang Kanan di Parit Belemam, Batu Pahat, merekodkan paras amaran dengan bacaan 2.31m," katanya.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619