AGENDA

Tahun baharu 2025 rai kelahiran generasi Beta

1 Jan 2025, 12:40 PM
Tahun baharu 2025 rai kelahiran generasi Beta

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Tahun 2025 yang membuka tirai 12 tengah malam tadi menandakan kelahiran generasi baharu dikenali sebagai Generasi Beta (Gen Beta).

Gen Beta bermula dengan bayi yang lahir dari tahun ini hingga 2039, iaitu selepas generasi terdahulu Gen Alpha (lahir pada 2010 hingga 2024) dan Gen Z (generasi yang dilahirkan selepas 1996).

Di Negeri Sembilan, 20 kelahiran bayi tahun baharu dilaporkan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban setakat 1.30 tengah hari tadi.

Menurut data yang dikeluarkan HTJ daripada jumlah itu 14 adalah bayi perempuan termasuk dua pasangan kembar yang dilahirkan pagi tadi.

Di Pahang, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan menyambut kelahiran 10 bayi lelaki dan sembilan bayi perempuan pada tahun baharu setakat 11 pagi tadi, dengan kelahiran terawal seorang bayi lelaki yang direkodkan pada 12.12 tengah malam.

Jabatan Kesihatan Negeri Pahang memaklumkan selain HTAA, hospital daerah Temerloh, Bentong dan Lipis turut merekodkan masing-masing dua kelahiran manakala di Raub, Pekan dan Cameron Highlands masing-masing mencatatkan satu kelahiran.

Di Putrajaya, tiga bayi lelaki dan tiga bayi perempuan seberat antara 2.51 kilogram hingga 3.85 kilogram selamat dilahirkan di Hospital Putrajaya.

Sementara itu di Perlis, pengurusan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar dalam kenyataan memaklumkan lima bayi lelaki dan seorang bayi perempuan dilahirkan setakat 1 tengah hari tadi.

Di Melaka, EXCO Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata seorang bayi perempuan dan tiga bayi lelaki termasuk seorang ibu warga asing dilahirkan di Hospital Melaka bermula tengah malam hingga 8 pagi tadi.

"Tahniah diucapkan kepada semua ibu dan bapa yang menyambut kelahiran anak mereka pada tahun baharu 2025 ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619