AGENDA

Menteri: Tempoh percubaan kod QR dilaksana di KLIA bulan ini

1 Jan 2025, 10:08 AM
Menteri: Tempoh percubaan kod QR dilaksana di KLIA bulan ini

PUTRAJAYA, 1 JAN: Kerajaan akan melaksanakan tempoh percubaan penggunaan Kod Respons Pantas (QR) khusus untuk rakyat Malaysia bermula bulan ini bagi melancarkan sistem pelepasan imigresen khusus di 40 lorong khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 (T1) dan KLIA T2.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penggunaan kod QR di kawasan ketibaan serta pelepasan KLIA T1 dan KLIA T2 itu merupakan langkah penyelesaian terhadap isu kesesakan yang sering berlaku di pintu masuk negara termasuk di KLIA terutama pada waktu puncak dan musim perayaan.

Beliau berkata antara kelebihan penggunaan kod QR adalah tempoh pelepasan imigresen hanya mengambil masa singkat iaitu antara lima hingga tujuh saat berbanding 15 hingga 25 saat menggunakan pintu automatik konvensional.

Kod QR juga katanya dapat meningkatkan aspek keselamatan dan kecekapan perkhidmatan menerusi penggunaan teknologi terkini serta mengurangkan ketirisan.

“Melalui sistem kod QR ini, pengembara tidak perlu lagi mengeluarkan pasport semasa pelepasan imigresen, namun mereka diwajibkan untuk sentiasa membawa pasport sepanjang perjalanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin Nasution berkata walaupun pelepasan imigresen kini dilaksanakan menggunakan kod QR, namun kemudahan kaunter manual dan sistem pagar automatik konvensional akan terus tersedia serta masih boleh digunakan seperti biasa.

Disember lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dilaporkan berkata kerajaan sedang mempertimbangkan penggunaan sistem baharu berasaskan kod QR bertujuan mempercepat proses pemeriksaan di kaunter imigresen, khususnya di KLIA sebagai usaha mengurangkan kesesakan.

Sistem itu akan membolehkan pengembara mengimbas kod QR yang mengandungi maklumat peribadi dan butiran perjalanan mereka.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619