AGENDA

MKI: Umat Islam wajib pertahan, sokong Palestin

31 Dis 2024, 3:33 PM
MKI: Umat Islam wajib pertahan, sokong Palestin

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Umat Islam wajib membela serta mempertahankan rakyat dan Palestin daripada segala bentuk kezaliman, pencerobohan dan penjajahan rejim Zionis Israel.

Perkara itu diputuskan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang bersidang bagi membincangkan mengenai kewajiban membela dan mempertahankan rakyat dan Palestin daripada pencerobohan Israel pada 24 hingga 26 September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI Datuk Dr Nooh Gadot dalam kenyataan hari ini berkata selain itu, umat Islam juga perlu menyokong pengiktirafan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan hak asasi manusia.

Beliau berkata umat Islam juga hendaklah bersatu dalam mempertahankan dan membebaskan Masjid al-Aqsa.

“Boikot adalah disyariatkan dalam Islam terutama untuk mempertahankan dan memelihara maqasid syariah. Perbuatan boikot selari dengan tuntutan jihad terutama dari segi harta,” katanya.

Nooh berkata tindakan memboikot syarikat atau entiti perniagaan yang mempunyai kepentingan dan terlibat dengan rejim Zionis hendaklah berpandukan kepada beberapa parameter yang digariskan antaranya matlamat boikot untuk menekan syarikat menukar polisi, visi, misi dan strategi mereka berkenaan Palestin dan menghentikan kezaliman Israel.

Selain itu, tindakan boikot hendaklah dilaksanakan berdasarkan beberapa kriteria antaranya syarikat terlibat dalam aktiviti penjajahan dan membantu rejim Zionis seperti membekalkan perkakas komputer, membekalkan jentera atau peralatan bagi memusnahkan harta benda dan nyawa rakyat Palestin serta memberi pembiayaan kewangan.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai badan penyelaras telah menyembah maklum pandangan hukum kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selaku Pengerusi MKI dan seterusnya Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-267 pada 23 dan 24 Oktober.

“Dalam hal ini, Mesyuarat Majlis Raja-Raja mengambil maklum mengenai pandangan hukum yang telah dipersetujui dan pihak berkuasa agama negeri boleh mempertimbangkan keputusan ini bagi tujuan pewartaan fatwa di negeri masing-masing,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619