SHAH ALAM, 31 DIS: Usaha membaik pulih kemudahan asas yang rosak akibat banjir besar melanda pada 2021 antara tumpuan utama Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua, tahun depan.
Datuk Johan Abd Aziz berkata gerak kerja telah dimulakan untuk pembaikan jalan rosak, sungai, jambatan runtuh dan padang awam.
Menurutnya, pembinaan projek tebatan banjir dari kawasan Batu 9 hingga Batu 18 akan bermula pertengahan tahun depan membabitkan kos RM512 juta ditanggung Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM22 juta kerja mendalamkan sungai cetek di Batu 10, Batu 16 dan Kampung Melaka untuk tahun depan.
“Tumpuan juga baik pulih semula Sungai Gabai. Kemudahan seperti tandas dan surau hancur ketika banjir. Tekad saya untuk jadikan Dusun Tua sebagai hab pelancongan,” katanya kepada Media Selangor.
[caption id="attachment_668373" align="alignnone" width="791"] Skuad Sukarelawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua membantu memindahkan mangsa banjir kilat ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Rendah Kebangsan Sungai Serai pada 15 Oktober 2024. Foto Facebook Datuk Johan Abdul Aziz[/caption]
Johan menambah penekanan turut diberikan bagi padang awam di Kampung Sungai Lui dan Batu 14 yang mengalami kerosakan.
“Selepas dibaik pulih dan infra ini sudah cantik boleh digunakan untuk mengharmonikan program sukan dan usahawan,” katanya lagi.
Beliau juga berharap segala projek pembangunan tebatan banjir yang dirancang pada 2025 berjalan lancar bagi mengurangkan risiko bencana itu yang kerap berlaku di kebanyakan daerah dalam negeri terutama Dusun Tua.
“Saya lihat banyak isu banjir yang dibangkitkan dalam sidang DUN di pelbagai tempat seperti Klang dan Shah Alam. Perkara berkaitan perparitan sering dibincangkan.
“Semoga projek yang dirancang di Dusun Tua lancar dan tidak tertangguh kerana kawasan ini mempunyai banyak sungai, kerap terdedah risiko banjir jika cuaca kurang baik,” ujarnya.