SHAH ALAM, 30 DIS: Daerah Sabak Bernam merekodkan wakaf tanah tertinggi di Selangor dengan jumlah 14.2 hektar tahun lalu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor (PWS).
Anuar Hamzah berkata pihaknya menerima wakaf tanah keseluruhan berjumlah 28.8 hektar dengan nilai RM36.2 juta, sekali gus membuktikan masyarakat semakin cakna terhadap ibadah wakaf.
“Selain wang tunai, kita juga terima wakaf dalam bentuk hartanah, bangunan, emas dan sebagainya. Kesemua hartanah ini kita akan bangunkan demi manfaat umat Islam.
“Setakat ini, penduduk di Sabak Bernam paling ramai mewakafkan tanah dan kita harap perkembangan ini akan turut berlaku di tempat lain,” katanya pada sidang media.
Terdahulu beliau ditemui pada majlis suai temu bersama kira-kira 50 pengamal media daripada pelbagai agensi berita di pusat beli-belah SACC di sini, hari ini.
Sementara itu, Anuar menambah PWS mahu memperhebat kempen berwakaf menjelang Ramadan ini termasuk menjalin usahasama dengan pempengaruh media sosial.
Menurutnya, kempen tersebut selaras dengan hasrat menjadikan ibadat wakaf sebagai sebahagian daripada budaya masyarakat Selangor.
“Kita mahu orang Selangor khususnya, jadikan wakaf sebagai satu budaya. Kita juga ada sediakan lebih 100 tabung untuk berwakaf di pelbagai lokasi bagi membantu memudahkan ibadat wakaf,” katanya.
Wakaf tunai boleh dilaksanakan secara atas talian menerusi https://fpx.wakafselangor.gov.my/ewo_login.asp atau secara potongan bulanan di Sistem Borang Online PWS (https://bo.wakafselangor.gov.my) bermula 1 Januari 2025.