SHAH ALAM, 30 DIS: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalurkan RM30,000 bagi membantu 400 mangsa banjir di Taman Seri Alam, Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini.
Ketuanya Ahmad Azri Zainal Nor memberitahu peruntukan berbentuk makanan siap dimasak mula diagih sejak semalam manakala bakul makanan pula sedang diagihkan kepada semua mangsa.
[caption id="attachment_661973" align="aligncenter" width="812"] Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor ditemu bual Media Selangor di Bangunan Darul Ehsan pada 6 September 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Mereka semua merupakan mangsa banjir akibat kolam takungan berhampiran pecah dan sejurus menerima maklumat Yayasan MBI terus mengaturkan bantuan makanan dengan bekerjasama dengan ahli majlis.
“Setakat ini, laporan diterima mengatakan air telah surut dan pihak berkaitan sedang membaiki kolam takungan tersebut. Bantuan ini merupakan keprihatinan Kerajaan Negeri dan diharap dapat meringankan beban mangsa,” katanya ketika dihubungi.
[caption id="attachment_679856" align="aligncenter" width="780"] Keadaan salah sebuah rumah penduduk terjejas akibat benteng takungan air Taman Seri Alam di Saujana Utama pecah pada 29 Disember 2024. Foto Facebook Dato' Dr Halim Tamuri[/caption]
Tambahnya, pihaknya bersedia menyediakan bantuan lain kepada mangsa banjir di Taman Seri Alam sekiranya memerlukan.
“Buat masa ini, kita usahakan bantuan berbentuk makanan sahaja tetapi akan fikirkan sekiranya ada permintaan lain,” katanya.
Petang semalam, kolam takungan berhampiran Taman Seri Alam, Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini pecah sehingga sekitar kawasan perumahan dilimpahi air.