AGENDA

Pengarah syarikat produk berasaskan durian didakwa pecah amanah hampir RM200,000

30 Dis 2024, 5:08 AM
Pengarah syarikat produk berasaskan durian didakwa pecah amanah hampir RM200,000

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Seorang pengarah syarikat menjual produk berasaskan durian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang syarikatnya berjumlah RM195,401, dua tahun lepas.

Datuk John Lee Siew Neng, 59, didakwa sebagai pengarah syarikat Musang Durian Frozen Food (M) Sdn Bhd yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan syarikat, telah mengeluarkan wang syarikat itu berjumlah RM195,401 di premis berkenaan di Taman Perindustrian Kip, Sentul di sini antara 24 Feb hingga 25 Ogos 2022.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun jika mahkamah membenarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport ke mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Aida Jaafar Mad Ariff yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga dan perniagaannya kurang stabil.

Hakim Siti Aminah Ghazali membenarkan Lee diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 17 Feb tahun depan untuk sebutan kes.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619