AGENDA

Polis: Suspek pedofilia beri alasan tidak tahu simpan bahan lucah satu kesalahan

29 Dis 2024, 3:23 PM
Polis: Suspek pedofilia beri alasan tidak tahu simpan bahan lucah satu kesalahan

IPOH, 29 DIS: Kebanyakan individu yang ditahan dalam Op Pedo pada 23 Dis, memberi alasan tidak mengetahui perbuatan memiliki, menyimpan dan mengedar bahan lucah serta bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak (CSAM), merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata alasan tersebut dianggap tidak munasabah, kerana pelbagai kenyataan telah dikeluarkan pihak berwajib berkaitan perbuatan itu yang diklasifikasikan sebagai jenayah keganasan.

“Pihak polis akan terus mengenal pasti individu yang terlibat dalam aktiviti ini, termasuk memiliki atau mempromosikan bahan-bahan lucah.

“Operasi yang dilaksanakan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ini juga akan terus digiatkan bagi mengesan saki baki individu yang dipercayai terlibat (CSAM),” katanya selepas merasmikan penutupan Program Pemimpin Masa Depan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM 2024 di Empangan Sultan Azlan Shah di sini, hari ini.

Pada 23 Dis, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan 13 lelaki ditahan secara berasingan di enam negeri, kerana disyaki memiliki CSAM dalam talian dengan ke semua suspek berusia 20 hingga 74 tahun, diberkas di 18 buah premis di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu.

Ayob Khan berkata pihaknya juga tidak menolak perbuatan keji itu tidak hanya berlaku di enam negeri tersebut sebaliknya melibatkan seluruh negara.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619