AGENDA

Wisma Putra: Tiada rakyat Malaysia terlibat nahas pesawat Korea Selatan

29 Dis 2024, 9:40 AM
Wisma Putra: Tiada rakyat Malaysia terlibat nahas pesawat Korea Selatan

PUTRAJAYA, 29 DIS: Kedutaan Besar Malaysia di Seoul mengesahkan tiada rakyat Malaysia berada di dalam pesawat penumpang Korea Selatan yang terhempas di sebuah lapangan terbang di barat daya negara itu pada Ahad, menurut kemas kini terkini oleh Kementerian Luar Negeri.

“Malaysia menzahirkan rasa simpati yang mendalam dan mengucapkan takziah kepada mangsa dan keluarga yang terjejas akibat insiden ini, serta kepada rakyat dan Kerajaan Republik Korea," menurut Kementerian Luar Negeri yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra, dalam satu kenyataan.

Wisma Putra berkata melalui Kedutaan Besar Malaysia di Seoul, pihaknya sedang memantau rapat insiden tragik yang melibatkan pesawat Jeju Air 7C2216 yang telah tergelincir dari landasan dan terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan pagi ini.

Agensi Berita Yonhap melaporkan sekurang-kurangnya 124 orang maut manakala dua mangsa berjaya diselamatkan selepas pesawat yang membawa 181 penumpang itu terbakar selepas ia terkeluar dari landasan dan merempuh tembok pagar di lapangan terbang.

Memetik pihak berkuasa, agensi berita itu melaporkan bahawa semua mangsa dipercayai meninggal dunia kecuali dua orang.

Untuk bantuan konsular atau maklumat lanjut, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Seoul di alamat 129, Dokseodang-ro, Hannam-dong, Yongsan-gu, Seoul 04419, Republic of Korea, atau menerusi talian +82-2-2077-8600 (Talian Am) atau +82-10-8974-8699, atau melalui e-mel di mwseoul@kln.gov.my.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619