AGENDA

Nahas pesawat di Muan, Korea Selatan: Semua kecuali dua mangsa dianggap meninggal dunia

29 Dis 2024, 6:21 AM
Nahas pesawat di Muan, Korea Selatan: Semua kecuali dua mangsa dianggap meninggal dunia

MUAN (Korea Selatan), 29 DIS: Sebuah pesawat yang membawa 181 orang terbakar selepas tergelincir dari landasan dan merempuh tembok pagar di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, di barat daya Korea Selatan.

Pihak berkuasa mengesahkan bahawa kesemua mangsa dipercayai maut kecuali dua orang, lapor Agensi Berita Yonhap.

Kejadian berlaku sekitar 9.07 pagi ketika pesawat Jeju Air cuba melakukan pendaratan cemas, namun gagal hingga merempuh tembok pagar di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, yang terletak kira-kira 288 kilometer di barat daya Seoul.

Menurut pihak berkuasa, operasi kini beralih kepada usaha untuk mengeluarkan mayat-mayat mangsa, setelah 85 kematian disahkan setakat ini.

Seorang penumpang dan seorang kru, kedua-duanya wanita berjaya diselamatkan dan kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Mokpo.

Pesawat yang dalam perjalanan dari Bangkok itu membawa 181 orang, termasuk enam kru, dengan kebanyakan penumpang adalah warga Korea, kecuali dua warganegara Thailand.

Rakaman video yang disiarkan oleh stesen TV tempatan menunjukkan pesawat berkenaan cuba mendarat tanpa gear pendaratan yang digunakan.

Pesawat itu tergelincir di atas tanah, merempuh tembok konkrit sebelum meletup dan dijilat api.

Pesawat malang itu hampir musnah akibat letupan yang berlaku.

Pihak berkuasa Wilayah Jeolla Selatan telah menaikkan tahap kecemasan ke tahap tertinggi dan mengerahkan semua anggota penyelamat serta polis bagi membantu operasi di lokasi kejadian.

Pihak berkuasa percaya bahawa kerosakan gear pendaratan, yang mungkin disebabkan oleh perlanggaran burung menjadi punca utama kemalangan.

Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk menentukan punca sebenar kejadian.

Pemangku Presiden, Choi Sang-mok tiba di lokasi nahas sekitar tengah hari dan mengarahkan pegawai untuk berusaha sepenuhnya dalam operasi pencarian dan penyelamatan.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menjanjikan bantuan kerajaan kepada mereka.

Pejabat Presiden memaklumkan bahawa satu mesyuarat kecemasan pegawai kanan akan diadakan pada 11.30 pagi bagi membincangkan tindakan lanjut kerajaan terhadap nahas pesawat ini.

Mesyuarat akan dipengerusikan oleh Ketua Staf Presiden, Chung Jin-suk.

Ketua Agensi Polis Negara yang bertindak, Lee Ho-young juga mengarahkan pegawai untuk menggerakkan semua sumber yang ada dan bekerjasama dengan pasukan bomba serta agensi berkaitan dalam usaha penyelamatan.

- BERNAMA-YONHAP

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619