AGENDA

Israel bakar Hospital Kamal Adwan, musnahkan bilik bedah, khidmat ambulans

28 Dis 2024, 12:40 AM
Israel bakar Hospital Kamal Adwan, musnahkan bilik bedah, khidmat ambulans

GAZA, 28 DIS: Pasukan Israel membakar Hospital Kamal Adwan di Beit Lahia, utara Gaza, hospital terbesar di kawasan itu yang memberi perkhidmatan kepada lebih 400,000 penduduk, pada Jumaat.

Wartawan Agensi Berita Palestin (WAFA) mengesahkan bahawa tentera Israel secara paksa memindahkan pesakit, orang yang cedera, kakitangan perubatan dan wartawan dari hospital itu, sambil melancarkan serangan peluru berpandu dan menembak dengan peluru hidup ke arah fasiliti itu.

Hospital itu merupakan satu-satunya kemudahan perubatan yang beroperasi di utara Gaza dan menyediakan perkhidmatan perubatan kritikal kepada komuniti sebelum ia dibakar.

Kebakaran itu memusnahkan jabatan utama, termasuk bilik bedah, makmal, unit kecemasan dan perkhidmatan ambulans.

Komunikasi dengan individu yang berada di dalam hospital terputus sepenuhnya selepas pasukan Israel mengepung bangunan itu.

Laporan menunjukkan bahawa tentera Israel mengarahkan kira-kira 350 orang di dalam hospital, termasuk 170 kakitangan perubatan, berkumpul di halaman hospital sebagai persediaan untuk serangan tentera.

Pasukan Israel memaksa kakitangan perubatan serta pesakit dan pendamping mereka menanggalkan pakaian mereka dalam kesejukan melampau sebelum membawa mereka ke lokasi yang tidak diketahui di luar hospital.

- BERNAMA-WAFA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619