AGENDA

Penyedia media sosial diseru segera mohon lesen operasi di Malaysia

27 Dis 2024, 6:30 AM
Penyedia media sosial diseru segera mohon lesen operasi di Malaysia

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Penyedia platform media sosial diminta segera mendaftar lesen perkhidmatan masing-masing menjelang penguatkuasaan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi pada 1 Jan 2025.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata tarikh akhir mengemukakan permohonan adalah sebelum atau pada 31 Dis.

Beliau turut memuji langkah Telegram dan Tencent (WeChat) yang telah memulakan proses pelesenan yang diperlukan untuk beroperasi di Malaysia.

“Terima kasih kepada Tencent dan Telegram kerana sudi bekerjasama dan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Saya harap platform lain akan ikuti langkah mereka kerana jika mereka (penyedia platform) ingin memberi perkhidmatan di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi pelakon veteran Sathia Periasamy atau Sathiya sempena sesi Ziarah MADANI@Finas di Setapak Jaya di sini hari ini.

Semalam, MCMC menerusi kenyataan memaklumkan keperluan pelesenan yang berkuat kuasa mulai 1 Jan itu bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna, dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial.

Ia dirangka untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang dipercayai dan selamat dengan menyeru penyedia perkhidmatan agar melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak serta golongan rentan.

Kegagalan mengemukakan permohonan boleh menyebabkan tindakan pengawalseliaan diambil walaupun ia perkara yang mahu dielakkan semua pihak.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619