AGENDA

Nahas WCE: Isteri sempat mohon maaf sebelum meninggal dunia disisi suami

26 Dis 2024, 11:00 AM
Nahas WCE: Isteri sempat mohon maaf sebelum meninggal dunia disisi suami

MANJUNG, 26 DIS: Allahyarham Nor Fadhilah Mohd Azlan, 24, sempat memohon maaf kepada suaminya sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi lelaki itu dalam nahas dua kenderaan di Kilometer (KM) 212.3 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di sini awal pagi tadi.

Suami mangsa, Mohammad Syuqur Ahmad, 24, berkata ketika kenderaan mereka terbalik, isterinya yang dalam keadaan nazak berulang kali memohon maaf kepadanya.

"Ketika itu isteri saya cedera parah namun tidak putus-putus meminta maaf dan saya tenangkan dia agar tidak berfikir apa-apa.

"Saya juga mengajar isteri mengucap dua kalimah syahadah dan belum sempat saya keluar dari kereta, isteri saya tiba-tiba senyap," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seri Manjung di sini hari ini.

Mohammad Syuqur berkata sebelum kejadian, dia bersama isteri dan anak kedua mereka Muhammad Iman Irfan yang berusia 15 bulan dalam perjalanan mengikutnya ke tempat kerja di Kampung Acheh, Sitiawan.

Menurutnya mereka keluar dari rumah kira-kira 4 pagi dan ketika sampai di lokasi kejadian dia cuba mengelak haiwan yang melintas sebelum kereta dipandunya hilang kawalan.

"Memang saya terkejut ketika kereta terbalik dan apabila buka mata saya lihat isteri cedera parah dan Muhammad Iman Irfan yang dipangku isteri telah tercampak keluar dari kereta sebelum kami dibantu oleh orang awam," katanya.

Mohammad Syuqur berkata dia perasan perubahan yang berlaku pada isterinya ketika mereka pulang ke kampung halaman Nor Fadhilah di Felda Lui Selatan, Negeri Sembilan semalam.

"Dia sangat gembira dapat balik ke Negeri Sembilan sebab nak jumpa ibunya malah ketika bersembang pun dia banyak ketawa namun kadangkala terdiam tiba-tiba.

"Masa nak hantar saya ke Kampung Acheh pun di sempat beritahu agar sampaikan salam kepada ibu saya dan ibunya dan bila saya tanya semula kenapa cakap begitu, dia kata 'tak tahulah, nak jadi kot," katanya.

Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan dua beranak maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman kemudiannya dalam kenyataan berasingan berkata siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berpunca daripada pemandu Perodua Kelisa yang hilang kawalan, terbabas, dan merempuh pembahagi jalan sebelum terbalik di tengah jalan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619