Oleh Intan Syuhada Akhir
Kehilangan bapa ketika usia sembilan tahun membuatkan Jaclyn Victor dan keluarga hidup dalam ujian. Kewangan keluarga terumbang-ambing.
Ibunya terpaksa membuat tiga kerja semata mahu menyara dia dan tiga lagi adik. Maggie Victor tidak mahu anaknya berlapar.
Menyedari kepayahan ibu, Jaclyn atau nama sebenarnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 40, tidak pernah meminta wang atau barang sempena Krismas. Dia tidak mahu ibunya terbeban.
Namun jauh di sudut hati, naluri kanak-kanaknya begitu menginginkan patung mainan popular jenama Barbie ketika itu. Hampir semua rakan sebaya miliki patung gadis perempuan berambut perang panjang itu.
“Tetapi saya ingat lagi kenangan waktu Krismas, pak cik saya belikan hadiah. Bila buka, rupa-rupanya anak patung. Saya sangat gembira walaupun ia bukan jenama Barbie. Seingat saya namanya Candy, saya menjerit gembira sebab sudah lama mahukannya.
“Saya tidak tahu bagaimana pak cik boleh baca fikiran saya. Itu kenangan yang sangat bermakna,” katanya ketika ditemui Media Selangor pada 12 Disember.
Walaupun memori itu masih terpahat di hati, pak cik tersayang sudah tiada. Kehilangan amat dirasai kerana itu bapa saudara paling rapat dengannya.
[caption id="attachment_679377" align="aligncenter" width="860"] Jaclyn Victor menerima banyak tawaran persembahan nyanyian.[/caption]
Tidak mahu berulang
Selepas berkahwin dan memiliki dua anak, Jonah Joshiah Rivera, 9, dan Molly Marguerite Rivera, 7, Jaclyn yang lebih mesra dipanggil Jac sedaya upaya memberikan hadiah terbaik buat mereka.
Dia sebolehnya tidak mahu anaknya merasakan kesusahan yang pernah dilalui.
Bukan itu sahaja, kesukaran masa kecil membuatkan pemenang Album Terbaik, Anugerah Industri Muzik 2005 itu lebih menghargai setiap perkara dan mahu berkongsi rezeki dengan orang sekelilingnya.
“Bila sudah ada anak, saya mahu berikan yang terbaik kepada mereka, bukan hanya semasa Krismas semata-mata. Kadangkala kalau saya jalan di mana-mana dan nampak sesuatu yang cantik, saya belikan buat mereka.
“Bila sudah dewasa, saya tidak lagi mengharapkan hadiah tetapi mahu memberi kepada orang lain pula seperti anak buah saya. Ia sesuatu yang normal sahaja, cuma dahulu kita tidak dapat semua itu, jadi ia membuatkan saya mahu beri kepada orang lain walaupun tidak mahal,” tambah pelantun lagu popular, Gemilang.
Bercerita lanjut mengenai sambutan Krismas tahun ini, Jac meraikan hari Natal di rumah ibu memandangkan kediamannya masih dalam proses ubah suai.
[caption id="attachment_679378" align="aligncenter" width="764"] Kenangan zaman kecil Jaclyn Victor bersama ibunya dan kini Jaclyn mencipta kejayaan dalam industri hiburan.[/caption]
Menariknya, bagi keluarga Jac, walaupun hidangan salad kentang buatan ibu adalah menu paling laris, namun sudah menjadi kebiasaan keluarga mereka menghidangkan juadah pelbagai bangsa.
“Tapi yang paling dinantikan semestinya ayam golek dan salad kentang buatan ibu. Semua orang yang datang ke rumah buru salad kentang sebab memang sedap,” ceritanya.
Mengakhiri 2024, Jac menyifatkan tahun ini seperti sebuah permulaan baharu apabila banyak tawaran yang tidak disangka diterimanya terutama kejayaan menjalankan konsert solo pertamanya Oktober lalu selepas dua dekad berada dalam industri hiburan.
“Lucunya, walaupun sudah 20 tahun bergelar penyanyi. Tahun ini pada usia 40 tahun entah kenapa saya rasa seperti semuanya baru bermula.
“Apa yang boleh saya katakan, tahun ini saya ibarat ambil alat kawalan jauh untuk kawal hidup saya sendiri. Tidak sabar menunggu apa agaknya yang bakal hadir dalam kehidupan saya untuk tahun-tahun selepas ini,” katanya.