AGENDA

KKM: Situasi Covid-19, influenza terkawal

23 Dis 2024, 12:35 PM
KKM: Situasi Covid-19, influenza terkawal

PUTRAJAYA, 23 DIS: Situasi Covid-19 dan influenza di Malaysia terkawal dengan tiada peningkatan kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kematian dilaporkan.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan tiada kes varian baharu dikesan dan varian SARS-CoV-2 yang sedang menular di Malaysia merupakan varian Omicron dan subvariannya.

Menurut KKM, kes dilaporkan menurun 14.23 peratus kepada 1,477 kes pada Minggu Epidemiologi (ME51) iaitu bagi tempoh 15 hingga 21 Dis lepas berbanding 1,722 kes pada minggu sebelumnya.

Sementara pengisian katil bukan kritikal menurun daripada 0.16 peratus kepada 0.13 peratus dan pengisian katil ICU menurun daripada 0.14 peratus kepada 0.10 peratus.

"Tiada kes kematian Covid-19 dilaporkan sejak 25 April dengan jumlah kumulatif kekal sebanyak 58 kematian," menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Bagi jangkitan influenza, KKM memaklumkan hasil survelan berasaskan makmal mendapati 139 daripada 856 sampel penyakit seperti influenza (ILI) di klinik kesihatan (16.24 peratus) serta lapan daripada 67 sampel jangkitan respiratori akut dan teruk (SARI) di hospital (11.94 peratus) dikesan positif bagi virus influenza pada ME50.

"Daripada sampel yang dikesan positif influenza, 32 peratus adalah terdiri daripada jenis influenza A manakala 26 peratus adalah influenza B," menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan walaupun jangkitan influenza tidak wajib untuk dilaporkan atau dinotifikasikan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] namun KKM sentiasa memantau kes influenza di seluruh negara.

"Peningkatan kes Covid-19 dan influenza di Malaysia pada hujung tahun adalah fenomena yang dijangka sepenuhnya, selaras dengan peningkatan jangkitan saluran pernafasan yang turut dilaporkan di negara-negara lain terutamanya yang bermusim sejuk seperti Jepun," menurut kenyataan itu.

Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah proaktif dalam menjaga kesihatan diri serta mencegah jangkitan atau penularan penyakit kepada orang lain semasa musim perayaan.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619