AGENDA

JPS mulakan kerja baik pulih runtuhan tebing Sungai Kelantan hari ini

23 Dis 2024, 6:37 AM
JPS mulakan kerja baik pulih runtuhan tebing Sungai Kelantan hari ini

KOTA BHARU, 23 DIS: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan kerja-kerja darurat di tebing Sungai Kelantan yang runtuh berhampiran sebuah kondominium dan hotel di Jalan Post Office Lama di sini, bermula hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim berkata pemakluman mengenai perkara itu disahkan oleh Pengarah JPS Kelantan Dr Siti Fairus Zakaria pagi tadi.

"Alhamdulillah, saya dapat bercakap dengan Pengarah JPS Kelantan pagi ini dan beliau telah mengesahkan satu kerja pelaksanaan darurat dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakan runtuhan tebing lagi teruk berlaku.

"Saya yakin tindakan diperlukan akan dilaksanakan oleh agensi terlibat sama ada teknik pasang jaring atau sebagainya, kita serahkan kepada pihak lebih pakar," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan sebuah kondominium berhampiran runtuhan di sini hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Landskap Majlis Perbandaran Kota Bharu Muhammad Faizuddin Muhammad Fadzin berkata pihaknya akan mengeluarkan notis mengosongkan premis perniagaan di sekitar kawasan terbabit dalam masa terdekat.

"Pihak kami telah mengadakan mesyuarat semalam dan notis mengosongkan premis perniagaan melibatkan lebih kurang 40 peniaga dijangka dikeluarkan minggu ini," katanya.

Pengerusi Persatuan Penduduk Pelangi Mall Foo Chek Yee pula berharap kerja-kerja pembaikan tebing runtuh itu dapat dilakukan segera kerana hampir 1,600 penghuni kondominium terlibat bimbang kejadian yang berlaku sebelum ini.

Pada 16 Disember lepas, satu runtuhan sepanjang lebih 50 meter berlaku di tebing Sungai Kelantan menyebabkan laluan pejalan kaki dan rekreasi turut runtuh pada ketinggian hampir 10 meter.

Kerajaan Kelantan mengisytiharkan kawasan runtuhan tebing itu sebagai 'kawasan bencana' dan perlu dibaik pulih dengan kadar segera bagi mengelak menjadi lebih teruk memandangkan ia merupakan satu daripada destinasi tarikan pelancong.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619