AGENDA

3,275 insiden di laut, 1,643 kematian direkod dari 2006 hingga semalam

21 Dis 2024, 4:33 AM
3,275 insiden di laut, 1,643 kematian direkod dari 2006 hingga semalam

PUTRAJAYA, 21 DIS: Statistik Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana (BCLBB) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merekodkan 3,275 kes insiden di laut melibatkan 16,420 mangsa dari 2006 hingga semalam.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata daripada jumlah itu 1,643 mangsa dilaporkan meninggal dunia dan 777 diklasifikasikan sebagai hilang.

Beliau berkata bagi tempoh dari Januari hingga Disember tahun ini pula, BCLBB merekodkan 216 kes insiden di laut membabitkan 1,253 mangsa, dan daripada jumlah itu 62 orang dilaporkan meninggal dunia, 26 orang dikategorikan hilang.

Berdasarkan statistik itu, beliau menasihatkan rakyat negara ini untuk meningkatkan tahap keselamatan ketika melakukan aktiviti laut sepanjang musim cuti sekolah dan sambutan Hari Natal, Rabu ini.

“Mereka yang ingin melakukan aktiviti laut perlu sentiasa memakai jaket keselamatan selain memastikan bot dinaiki berada dalam keadaan selamat memandangkan cuaca tidak menentu pada hujung tahun akibat Monsun Timur Laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua pengendali bot penumpang memastikan bot yang digunakan berada dalam keadaan baik serta menyediakan jaket keselamatan sebelum beroperasi selain tidak membawa penumpang melebihi kapasiti ditetapkan.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619