AGENSI

Sultan Selangor zahir dukacita kematian Adiguru Kraf Ukiran Halus

20 Dis 2024, 5:53 AM
Sultan Selangor zahir dukacita kematian Adiguru Kraf Ukiran Halus

SHAH ALAM, 20 DIS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa sedih dan dukacita atas kematian Adiguru Kraf Ukiran Halus, Allahyarham Norhaiza Nordin, semalam.

Selangor Royal Office memaklumkan, Allahyarham banyak menghasilkan ukiran kayu yang ditempah khas khususnya keris dan rehal yang kini dipamer sebagai koleksi peribadi Baginda di Istana Alam Shah, Klang.

“Baginda sentiasa kagum dengan kebolehan dan ketelitian Allahyarham sebagai seorang pengukir kayu tradisional sehingga Allahyarham mencapai ke peringkat antarabangsa dan menerima Anugerah Tokoh Kraf Negara pada 2022.

“Antara karya terulung Allahyarham adalah apabila diminta menghasilkan ukiran untuk hiasan dalaman Dewan Pusat Pengajian Islam di Universiti Oxford, United Kingdom,” menurut kenyataan di Facebook.

Tambah Selangor Royal Office, Baginda turut menzahirkan ucapan takziah kepada waris serta keluarga Allahyarham dan mendoakan agar rohnya ditempatkan bersama para solihin.

Allahyarham Norhaiza, 61, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab, Kota Bharu, Kelantan akibat masalah jantung, pagi semalam.

Anak jati Besut itu merupakan penggiat seni ukiran kayu yang terkenal dengan identitinya tersendiri selain hasil ukirannya banyak menghiasi ruang di istana, pejabat, bangunan kerajaan dan di luar negara.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619