AGENSI

Jais buka 141 kertas siasatan libat kesalahan ahli GISBH

19 Dis 2024, 8:56 AM
Jais buka 141 kertas siasatan libat kesalahan ahli GISBH

SHAH ALAM, 19 DIS: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuka 141 kertas siasatan melibatkan kesalahan dilakukan oleh ahli kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Pengarah Jais Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata kertas siasatan terhadap ahli GISBH yang ditangkap sebelum ini telah dimuktamadkan dan pihaknya sedang berbincang dengan pasukan pendakwaan syarie untuk tindakan seterusnya.

"Sekarang dalam perbincangan dengan pihak pendakwaan syarie yang mempunyai kuasa untuk membuat pertuduhan atau pendakwaan.

“Beberapa proses (berhubung kertas pertuduhan) sedang disempurnakan dalam tempoh seminggu ini, dan insya-Allah kalau ada kes, kita akan dakwa secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan sekolah-sekolah agama kendalian Jais di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan penangkapan individu disyaki terlibat dengan GISBH sebelum ini.

EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sebelum ini memaklumkan 138 orang ahli GISBH melibatkan 41 lelaki dan 97 wanita telah ditangkap antara 22 Sept hingga 1 Nov lepas.

Beliau berkata mereka yang didakwa antaranya di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan pemerdagangan dan pemelarian kanak-kanak serta Akta Cukai Pendapatan 1967.

Mohd Shahzihan berkata kebanyakan kes yang akan didakwa melibatkan Seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor dan turut dipertimbangkan kesalahan cubaan menghidupkan ajaran sesat.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shahzihan mengesahkan Jais sedia maklum berhubung kegiatan swinger iaitu kegiatan pasangan suami isteri yang bertukar-tukar pasangan sejak 80-an lagi dan perkara itu dalam pemantauan pihaknya.

Beliau berkata usaha kesedaran giat dilaksanakan termasuk akan mengeluarkan khutbah berkaitan isu berkaitan bagi menyedarkan mereka yang terlibat.

Menurutnya, perbuatan tersebut boleh disabitkan di bawah kesalahan Enakmen Jenayah Syariah Selangor melibatkan muncikari iaitu orang tengah yang menguruskan perempuan untuk dibeli orang lain atau mengikut Seksyen 29 iaitu berkhalwat.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung promosi kegiatan swinger di media sosial yang mendedahkan secara terbuka perjumpaan kumpulan tersebut di beberapa negeri.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619