AGENDA

Kastam rampas tembakau, pil ekstasi seludup lebih RM3 juta

16 Dis 2024, 11:51 AM
Kastam rampas tembakau, pil ekstasi seludup lebih RM3 juta

PETALING JAYA, 16 DIS: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melumpuhkan dua kegiatan penyeludupan membabitkan produk tembakau, beras dan bijirin serta pil ekstasi dengan nilai keseluruhan lebih RM3 juta dalam serbuan berasingan di Selangor dan Kuala Lumpur pada Julai dan November lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail berkata pemeriksaan terhadap tiga kontena di Pelabuhan Klang, Selangor pada November lepas menemukan sejumlah produk tembakau seperti tembakau kunyah dan serbuk tembakau serta beras jenis basmati dan bijirin yang dipercayai dibawa masuk dari India untuk pasaran tempatan.

"Jumlah rampasan itu membabitkan 7,303 kilogram (kg) produk tembakau bernilai RM325,000 serta 7,580kg beras basmati dan bijirin bernilai RM351,700 dengan keseluruhan cukai berjumlah RM2,816,880

"Modus operandi mereka ialah membuat pengikraran yang tidak benar iaitu Assorted Food Beverage di Borang Kastam 1 yang merupakan dagangan tidak memerlukan Permit Import semasa pengimportan," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Kuala Lumpur di sini hari ini.

Susulan itu, beliau berkata tiga wakil ejen penghantaran telah dipanggil bagi membantu siasatan di bawah Akta Kastam 1967.

Sementara itu, Norlela berkata serbuan pada Julai lepas di Pusat Mel dan Kurier Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pula menemukan pil ekstasi dengan anggaran berat 0.43kg bernilai RM71,810.

"Bungkusan berkenaan dari negara di Eropah dan butiran penerima adalah di sebuah alamat palsu di Petaling Jaya, Selangor.

"Modus operandi kegiatan ini adalah membahagi bungkusan besar ini kepada bungkusan kecil dan akan dihantar melalui kurier secara terus kepada penerima dengan anggaran berat bungkusan 0.3 hingga 0.5 kg setiap satu," katanya menambah kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata bagi memastikan aktiviti pengedaran dadah melibatkan kurier dibanteras pihaknya akan membuat pemeriksaan berkala bersama anjing pengesan di tempat kurier sekitar Lembah Klang.

-BERNAMA

 

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619