AGENDA

Zafrul jelaskan perbincangan sertai KEADILAN tidak libat soal jawatan, pilihan raya kecil

15 Dis 2024, 3:55 PM
Zafrul jelaskan perbincangan sertai KEADILAN tidak libat soal jawatan, pilihan raya kecil

SHAH ALAM, 15 DIS: Perbincangan awal Ahli Majlis Tertinggi Umno Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dengan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) tidak menyentuh soal jawatan pada peringkat negeri mahupun pilihan raya kecil.

Menurut menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu, beliau juga belum membuat apa-apa keputusan dan hanya melakukannya dengan penuh adab kepada pucuk pimpinan Umno.

"Saya ingin tegaskan dalam perbincangan awal ini tidak ada perbincangan jawatan pada peringkat negeri mahupun pilihan raya kecil dibincangkan.

"Walau apapun, saya tiada pun membuat apa-apa keputusan lagi," katanya di laman X pada malam ini.

Baru-baru ini, timbul spekulasi kononnya Tengku Zafrul yang bakal tamat tempoh penggal sebagai senator dijangka menyertai KEADILAN dan memegang jawatan tertentu di Selangor.

Pagi tadi, Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui selepas Kongres Nasional Khas di sini mengesahkan ada perbincangan awal untuk Tengku Zafrul menyertai parti tersebut.

“Kita buka ruang dan runding dengan baik. Tengku Zafrul pun begitu. Kita tidak ajak orang tetapi kita sedia berbincang. Dalam parti kita, bekas Umno pun ada,” katanya.

Semalam, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan beliau tidak ada menerima makluman daripada Tengku Zafrul untuk keluar Umno seterusnya menyertai sebuah parti lain.

Beliau yang juga timbalan perdana menteri juga memberitahu berkata Tengku Zafrul setakat ini tidak ada bertemu dengannya untuk membincangkan perkara berkenaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619