AGENDA

Lubang benam: Jalan Lojing–Gua Musang ditutup sepenuhnya mulai semalam

15 Dis 2024, 4:34 AM
Lubang benam: Jalan Lojing–Gua Musang ditutup sepenuhnya mulai semalam

GUA MUSANG, 15 DIS: Laluan FT185 Seksyen 78.60 Jalan Lojing–Gua Musang ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan bermula semalam sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak berikutan terdapat lubang benam di kawasan itu.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan dalam kenyataan memaklumkan lubang benam sedalam sembilan meter itu berlaku berdekatan Kampung Jek Jok di sini pada 11.18 pagi semalam.

"Sila rancang perjalanan anda dan patuhi papan tanda yang telah disediakan. Berhati-hati di jalan raya," menurut kenyataan itu yang dimuat naik dalam Facebook.

Sebelum ini, kejadian sama berlaku di lokasi berhampiran pada 23 Nov lepas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo ketika dihubungi Bernama berkata laluan berkenaan ditutup dari kedua-dua arah.

Beliau berkata pengguna jalan raya dari Tanah Tinggi Lojing ke Gua Musang atau Gua Musang ke Cameron Highlands di Pahang dan ke Ipoh di Perak perlu menggunakan laluan lain.

"Kawasan lubang benam baharu ini terletak kira-kira lima meter dari lokasi kejadian lubang benam pertama dan tindakan segera telah diambil oleh pihak JKR dengan membaiki lubang benam itu," katanya.

Pada 23 Nov lepas, sebuah lubang benam sedalam enam meter berlaku di Jalan Lojing–Gua Musang di Kampung Jek Jok, Pos Brooke, namun telah dibaiki JKR.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619